ELLY Mazlein gembira apabila watak Senah dalam drama Patah Sayap Bertongkat Paruh menjadi perhatian. FOTO Khairul Azhar Ahmad
ELLY Mazlein gembira apabila watak Senah dalam drama Patah Sayap Bertongkat Paruh menjadi perhatian. FOTO Khairul Azhar Ahmad
Sudirman Mohd Tahir


ELLY Mazlein gembira apabila watak Senah dalam drama Patah Sayap Bertongkat Paruh menjadi perhatian dan bualan ramai hingga penonton mewujudkan tanda pagar #teamsenah.

Elly, 39, atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi berkata, setiap watak dalam drama itu memiliki kekuatan masing-masing.

“Alhamdulillah, saya gembira sangat dengan maklum balas diterima menerusi watak ini. Ke mana saya pergi sekarang orang panggil saya Senah.

“Walaupun sebenarnya geram dengan Senah, tapi mereka tidak boleh marah sebab watak ini terselit unsur komedi. Pendek kata, Senah disayangi dan disenangi.

“Ramai beranggapan watak ini antara yang menonjol berbanding watak lain. Apa pun, pada saya masing-masing ada kekuatan. Begitu juga dengan Senah. Mungkin kerana wataknya berbeza sikit iaitu jahat bercampur kelakar sekali gus ia menjadi perbualan,” katanya.

ELLY mendapat pelbagai maklum balas yang mahukan dia bergandingan dengan Azhan Rani. FOTO Hafiz Sohaimi
ELLY mendapat pelbagai maklum balas yang mahukan dia bergandingan dengan Azhan Rani. FOTO Hafiz Sohaimi

Elly berkata, dia juga mendapat pelbagai maklum balas yang mahukan dia bergandingan dengan Azhan Rani yang popular menerusi watak Ustaz Hamadi dalam drama Nur 2.

“Ramai cakap Senah lebih baik bergabung dengan Ustaz Hamadi. Malah, mereka nak sangat kami dipertemukan dalam drama dan berharap ia menjadi kenyataan.

“Saya juga suka sangat kalau watak Senah dikembangkan dalam drama bersiri lain. Apa yang penting, saya nak juga bergabung dengan Azhan Rani. Mesti meletup! Ini kerana dua watak ini ramai sangat yang nak tengok disatukan,” katanya.

Sementara itu, penerbit drama berkenaan, Fadzil Teh berkongsi dalam perancangan untuk mengembangkan watak Senah.

“Berdasarkan sambutan terhadap watak ini, Insya-Allah kita sedang dalam perancangan untuk menerbitkan drama lain.

“Kita nak kembangkan lagi watak Senah kerana ramai sukakan watak Senah lakonan Elly. Saya yakin dia boleh buat lebih lagi daripada apa yang dipaparkan dalam TV sekarang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 12:50 PM