TRIPLE Frontier mempertaruhkan lima bintang terkenal iaitu Ben Affleck, Oscar Isaac, Charlie Hunnam, Garrett Hedlund and Pedro Pascal.
TRIPLE Frontier mempertaruhkan lima bintang terkenal iaitu Ben Affleck, Oscar Isaac, Charlie Hunnam, Garrett Hedlund and Pedro Pascal.
Najiy Jefri


MEMAPARKAN kisah lima bekas anggota Pertahanan Khas menggalas misi menumpaskan jenayah penyeludupan wang haram dan dadah, Triple Frontier kini menjadi antara pilihan utama penonton di Netflix. Ditayangkan sejak 13 Mac lalu, Triple Frontier mempertaruhkan lima bintang terkenal iaitu Ben Affleck, Oscar Isaac, Charlie Hunnam, Garrett Hedlund and Pedro Pascal.

Berpeluang bertemu Ben Affleck, Charlie Hunnam dan Garrett Hedlund pada sidang media pelancaran filem itu di Singapura baru-baru ini, tiga figura popular terbabit mengakui filem arahan J C Chandor itu mengubah perspektif mereka terhadap anggota Pertahanan Khas Negara.

Apa tidaknya, selepas bekerja dengan penasihat tentera yang juga bekas Pasukan Khas Tentera Laut dan Delta Force, banyak pengisian yang mereka peroleh untuk diwarnakan dalam filem terbabit.

“Penasihat tentera kami pegawai tentera yang hebat. Keupayaan dan pengalaman yang dimiliki sungguh luar biasa.

“Saya sangat kagum selepas mendengar ilmu yang dikongsi kepada kami. Malah, ketika dalam taklimat itu dia menceritakan beberapa senario yang berlaku untuk diterjemahkan dalam filem ini.

“Apa yang disampaikannya itu adalah satu pengalaman berharga. Saya juga sedar tanggungjawab anggota pertahanan khas sangat besar malah mereka terdedah dengan risiko kehilangan nyawa,” kata Affleck.

AFFLECK  mengaku karakter yang dipegang amat mencabar.
AFFLECK mengaku karakter yang dipegang amat mencabar.

Menurut Affleck, meskipun dia paling berusia berbanding pelakon lain, tiada masalah untuknya menjayakan karakter malah sangat selesa sepanjang penggambaran.

“Setiap filem yang dibintangi, saya lihat ia sebagai proses untuk jadi lebih baik dan ruang mengutip pengalaman baharu. Jadi, perkara paling berharga buat saya adalah mengintai setiap peluang daripada individu yang berbakat.

“Pujian wajar diberikan kepada semua pelakon. Mereka berjaya melunaskan setiap karakter dengan cemerlang. Saya berasa beruntung apabila dapat bekerja dengan mereka selain berkongsi pengalaman yang kami tempuh sepanjang penggambaran,” katanya.

Triple Frontier adalah sebuah filem aksi yang mengisahkan bekas pesara anggota Pertahanan Khas merancang satu rompakan jutaan dolar dari pengedar dadah terkemuka di sempadan Amerika Selatan.

Diwarnakan oleh lima pelakon hebat, filem ini nyata mempunyai banyak plot menarik antaranya situasi operasi pembasmian jenayah penyeludupan wang haram dan dadah.

Membesar dengan anggota keluarga yang pernah berkhidmat sebagai anggota tentera, Hedlund mengakui karakter yang dipegang bukan mudah sebaliknya ia amanah perlu dilunaskan sebaik mungkin.

“Keluarga saya ada beberapa pesara askar. Jadi, ketika ditawarkan membintangi Triple Frontier saya teringat cerita yang pernah mereka kongsi.

“Baru kini saya sedar apa yang mereka lalui selama ini bukan tugas mudah. Mereka bergadai nyawa demi menjaga keselamatan negara.

“Saya perlu memberikan penghargaan kepada mereka dan jangan sesekali kita memandang rendah kerjaya anggota beruniform,” katanya.

FILEM aksi ini kini boleh ditonton di Netflix.
FILEM aksi ini kini boleh ditonton di Netflix.

Sementara itu, Hunnam berkata selepas 15 tahun berkawan dengan Hedlund, baru kini mereka dapat bekerjasama dalam satu naskhah.

“Kami berkawan baik dan sudah lama teringin bergandingan dalam filem. Apabila diberikan peluang ini, tak sangka kami pegang watak adik-beradik.

“Pada Mulanya watak kami bukan adik-beradik tetapi apabila Chandor nampak kami ada banyak persamaan dari segi fizikal, dia ubah jalan cerita agar lebih dramatik.

“Saya suka bekerja dengan Hunnam kerana sudah faham perangai masing-masing dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila kamera mula merakam aksi kami.

“Triple Frontier sebuah karya yang akan buka mata ramai. Banyak aksi yang kami lakukan sendiri hingga terpaksa berdepan beberapa insiden dan kecederaan kecil di lokasi penggambaran. Namun, itu semua bukan halangan untuk kami buat yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mac 2019 @ 6:00 AM