NIAT belajar semua al-Quran sejak awal kehamilan. - FOTO NSTP.
NIAT belajar semua al-Quran sejak awal kehamilan. - FOTO NSTP.
Georgie Joseph


PELAKON Pelakon Mawar Rashid bersyukur apabila niatnya untuk mempelajari semula dan memperbetulkan bacaan al-Quran seperti yang dikongsinya di Instagram mendapat sokongan dan memberi semangat buat ramai pengikutnya.

Mawar, 23, berkata, dia terharu dengan komen positif yang memintanya terus istiqamah selain berterima kasih kepadanya.

“Alhamdulillah, disebabkan perkongsian itu, ramai memberikan reaksi positif dan bersemangat untuk kembali aktif mengaji al-Quran. Paling terharu, apabila ramai berterima kasih kepada saya disebabkan perkongsian itu.

“Ada juga yang memberi nasihat dan teguran terutama mengenai pemakaian tudung. Mereka meminta saya pakai elok-elok dan saya terima serta ambil teguran itu secara positif,” katanya.

Mawar berkata, dia memang sudah lama menyimpan hasrat untuk belajar mempelajari al-Quran semula.

“Niat itu memang sudah lama terdetik. Namun, baru tahun lalu berkesempatan berbuat demikian selepas mengetahui saya hamil. Saya sanggup tolak tawaran kerja untuk memberi laluan kepada usaha itu selain untuk menjaga kandungan sulung saya ini,” katanya yang akan bersalin bila-bila masa saja.

Mawar berkata, dia diperkenalkan kepada Ustazah Nad yang mengajarnya dua kali seminggu di rumah.

“Saya rasa perkara baik ini sesuai dikongsi di Instagram dan tidak sangka mendapat reaksi luar biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Mawar berharap dan berdoa supaya semuanya dipermudahkan apabila dia bersalin tidak lama lagi.

“Saya tunggu masa saja sekarang ini dan syukur semuanya berada dalam keadaan baik-baik saja. Alhamdulillah, kehamilan saya dilancarkan. Saya juga banyak berjalan-jalan sekarang ini dan harap-harap proses bersalin nanti juga lancar,” katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 5:43 PM