SHUIB menafikan dakwaan lagu ciptaannya, Semakin untuk Siti Sarah dibeli atau diciplak. FOTO Zunnur Al Shafiq
SHUIB menafikan dakwaan lagu ciptaannya, Semakin untuk Siti Sarah dibeli atau diciplak. FOTO Zunnur Al Shafiq
Najiy Jefri


PELAWAK Shuib membidas kenyataan beberapa pihak yang mendakwa lagu sulung ciptaannya, Semakin tidak mempunyai keaslian kerana dianggap mirip lagu, Matahariku nyanyian Agnes Monica hingga menyebabkan ia tewas di pentas Anugerah Juara Lagu ke-33 (AJL 33) baru-baru ini.

Shuib yang menggunakan nama pena Mera Utama dalam lagu nyanyian isterinya, Siti Sarah turut menafikan dakwaan netizen bahawa lagu ciptaan sepenuhnya itu dibeli atau diciplak.

Kata penyampai baharu stesen Hot FM itu, Semakin mempunyai lima versi susunan muzik sebelum dirakam dan diterbitkan.

Menurutnya, dia sendiri yang menulis lirik dan menghasilkan lagu itu, justeru tidak timbul isu ia dibeli serta apa yang berlaku adalah kesilapan sendiri kerana susunan muziknya dihasilkan mirip lagu Matahariku.

"Sebelum proses rakaman bermula, kita mempunyai pelbagai versi susunan lagu, sehinggalah Sarah menyerahkan lagu Matahariku sebagai rujukan.

“Saya rasa kesilapan adalah di peringkat susunan muzik terakhir yang menjadikan Matahariku sebagai rujukan,” katanya ketika ditemui di Majlis Doa Selamat Hot FM dan Kool FM di Kuala Lumpur semalam.

Shuib berkata, ketika di pentas final mereka menukar susunan muziknya supaya tidak kedengaran sama, namun ada pula yang mempertikaikannya.

"Pada mulanya saya pertikai juga kepada Sarah kenapa nak buat sama macam Matahariku?. Sarah kata ini lagu dia, jadi nak ada bunyi ke arah lagu itu,” katanya.

Menurutnya, dia tidak merajuk atau berkecil hati dengan komen juri, sebaliknya membuatkan mereka belajar daripada kesilapan dilakukan itu.

“Apabila ada orang cakap Semakin tidak mempunyai keaslian, saya tidak terima sebulatnya pendapat itu.

“Saya tidak kecewa dan menganggap kegagalan itu bukan rezeki kami. Saya akan terus berkarya dan kembali ke pentas AJL.

“Lagipun saya sudah ada dua ke tiga lagu yang akan diberikan kepada Sarah untuk dia dengar. Single kedua nanti lebih kurang sama dengan Semakin dan akan ada satu single yang dihasilkan untuk dipertaruhkan di pentas AJL akan datang," katanya.

Terdahulu lagu Semakin dikaitkan dengan isu membeli dan menciplak susunan muzik Matahariku selepas tamat AJL33.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 4:14 PM