ARIF Bahran (kiri) dan Sarah Suhairi. FOTO Arkib NSTP
ARIF Bahran (kiri) dan Sarah Suhairi. FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry


JUARA program realiti Big Stage, Sarah Suhairi, mengakui hubungannya dengan penyanyi Arif Bahran memang rapat namun belum sampai ke tahap bercinta.

Penyanyi yang popular dengan lagu Nyawa dan Raga itu berkata, dia dan Bahran masih muda dan perjalanan seni masing-masing sedang bermula.

“Kami memang rapat kerana sudah mengenali sebelum menyertai Big Stage lagi dan hubungan ini bertambah akrab apabila bernaung di bawah syarikat rakaman yang sama.

“Bagi saya sekarang ini adalah masa untuk fokus karier seni yang sedang berjalan dan kami juga masih muda terlalu banyak lagi perkara ingin kami lakukan dan fikirkan,” katanya.

Sarah ditemui pada sidang media pengumuman top 5 ERA Digital Muzik Awards 2018 (EDMA 2018) di Kuala Lumpur, hari ini.

Berkongsi mengenai pembabitannya dalam EDMA 2018, Sarah berkata, dia tercalon untuk tiga kategori iaitu Muzik Video Paling Lit, Penyanyi Paling Lit di Media Sosial dan Temubual Terbaik Carta ERA.

Dalam pada itu, Sarah berkata, kontroversi hubungan dengan Bahran sedikitpun tidak mengubah keadaan.

“Kami masih berkawan seperti biasa dan berjumpa apabila membabitkan hal kerja.

“Apa yang berlaku tidak akan mengubah hubungan kami. Pun begitu jika ada peminat mengharapkan kami berdua benar bercinta doakan yang baik saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 January 2019 @ 8:17 PM