Najiy Jefri


PELAKON Rita Rudaini yang buntu akibat kehilangan kucing kesayangannya baru-baru ini terharu apabila ramai pihak yang tampil membantunya selepas memuat naik mengenai kejadian itu di Instagram, Rabu lalu.

Rita berkata, pada malam kedua kucingnya bernama Pekan itu hilang, dia dibantu lima orang yang bersama- sama mencari Pekan sehingga 3 pagi.

“Pada malam ketiga, saya dibantu lebih 17 orang yang datang menaiki sembilan kereta. Mereka semuanya pencinta kucing dan sanggup datang dari Shah Alam ke Semenyih untuk membantu saya mencarinya. Malah, kami turut dibantu 10 remaja yang tinggal berhampiran,” katanya.

Terdahulu, kucing berkenaan diserahkan kepada seorang individu untuk tujuan pembiakan sebelum didapati hilang.

Rita berkata, dia turut membuat laporan di Balai Polis Semenyih berhubung kehilangan haiwan itu atas dasar timbulnya keraguan.

Menurut Rita, dia berpuas hati kerana polis membantu dalam proses pencarian Pekan.

Bagaimanapun, pelakon itu enggan mengulas mengenai laporan dibuat.

“Sebaik membuat laporan polis mereka terus menjalankan tanggungjawab. Walaupun ia hanya kes kehilangan kucing tapi mereka mengambil serius hal ini.

“Bagaimanapun saya enggan berkongsi butiran lanjut mengenai proses pencarian membabitkan pihak berkuasa kerana tidak mahu menuduh sesiapa,” katanya.

Menurut Rita, kehilangan Pekan membuatkan dia tidak senang duduk sehinggakan setiap pagi perkara pertama yang dilakukan memeriksa telefon bimbitnya.

“Setiap pagi saya periksa telefon dengan harapan ada yang menghubungi dan memaklumkan berita baik.

“Sepanjang kehilangan Pekan, saya sangat sedih hingga makan pun tak lalu. Anak-anak juga sedih melihat saya menangis. Perasaan ini hanya pencinta kucing saja yang faham,” katanya.

Berita berkaitan:

  • 'Senang je cakap nak ganti...'
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 January 2019 @ 9:42 PM