JIMIN.
JIMIN.
Syafil Syazwan Jefri

Bagi peminat kumpulan muzik K-Pop, BTS, tentunya mereka menantikan kehadiran single solo pertama seorang anggotanya, Jimin.

Single berjudul Promise itu adalah hasil karya kolaborasi antara Jimin dan rakan sekumpulannya, RM.

Menerusi akaun Twitter band popular itu, Jimin mengumumkan mengenai kemunculan single baru itu.

“Anda semua menantikan single ini, bukan? Akhirnya, saya dapat perkenalkan lagu ciptaan saya sendiri,” tulisnya di Twitter.

Katanya, ia bukan saja karya yang dihasilkan untuk dirinya secara peribadi tetapi juga khas buat peminatnya.

“Ia lagu yang dihasilkan untuk saya dan kalian. Walaupun ini adalah buah tangan pertama saya dan hasil kerjanya masih amatur, saya harap kalian akan sukakannya.

“Terima kasih ‘Army’ kerana sudi menunggu,” tulisnya lagi.

Promise diterbitkan oleh Slow Rabbit yang turut menerbitkan lagu BTS dan liriknya menggabungkan bahasa Inggeris dan Korea.

Di Twitter, peminat BTS dan Jimin membanjiri laman sosial media itu dengan ‘tweet’ berkaitan lagu terbabit dan foto jari kelengkeng yang melambangkan janji atau ‘promise’.

Jimin menyertai BTS pada 2013 dan pernah berkolaborasi dengan rakan seperjuangannya, Jungkook.

Kedua-dua mereka menyanyikan semula lagu Mistletoe nyanyian asal Justin Bieber pada 2014 dan menggunakan judul Christmas Day.

Selain itu, mereka juga pernah menghasilkan nyanyian semula lagu We Don’t Talk Anymore pada Jun 2017, nyanyian asal Charlie Puth dan Selena Gomez.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 January 2019 @ 9:46 AM