MAWI dan isterinya, Ekin. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
MAWI dan isterinya, Ekin. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Michelle Gun


ISTERI penyanyi Mawi, Ekin mendedahkan pernah dituduh sebagai ‘kaki kikis’ dan menggunakan ilmu hitam ketika mendirikan rumah tangga dengan juara Akademi Fantasia 3 (AF3) itu 10 tahun lalu.

Ekin atau nama sebenarnya Nora Asyikin Rahmat menceritakan dugaan itu dengan pengikutnya di Instagram sempena ulang tahun ke-10 perkahwinan mereka, semalam.

“Alhamdulillah, dah 10 tahun bersama tak terasa. MasyaAllah, terima kasih @cahayaasmawi sebab banyak mengajar erti kesabaran dan kawal baran,” katanya.

Menurut Ekin yang juga pelakon, ketika itu pelbagai halangan serta cerita kurang enak dilemparkan terhadapnya.

“‘Touching’ tengok gambar ni. Masa ini, macam-macam dugaan, halangan dan fitnah manusia lempar pada aku sehingga ada yang melabelkan aku kaki kikis dan kaki bomoh.

“Macam mana orang tu semua nak minta maaf atas fitnah-fitnah mereka,” katanya yang turut mengucapkan selamat ulang tahun kepada suaminya.

Atas permintaan pengikut, ibu kepada seorang anak itu turut memuatnaik beberapa gambar majlis nikah dan resepsi perkahwinan mereka.

“Kami nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua insan yang terbabit bersengkang mata siang malam untuk menjayakan majlis kami di lima tempat.

“Walaupun sebenarnya letih yang amat, tetapi syukur sangat semuanya dipermudahkan oleh Maha Pencipta dengan berkatnya juga semua berjalan dengan lancar. Alhamdulillah,” katanya.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 20 Disember 2008 dan dikurniakan anak perempuan bernama Cahaya Malaika yang kini berusia 6 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Disember 2018 @ 8:31 PM