PAYUNG Teduh. FOTO Walt Disney Malaysia
PAYUNG Teduh. FOTO Walt Disney Malaysia
Syafil Syazwan Jefri

Nama band dari Indonesia, Payung Teduh mungkin belum cukup kuat di Malaysia jika dibandingkan dengan band popular lain.

Namun, jumlah peminat band yang dianggotai Alejandro Saksakame, Comi Aziz Kariko, Ivan Penwyn, Marsya Ditia, Taufiq dan Pandji Putranda meningkat selepas lagu mereka, Akad mendapat tempat di hati penggemar muzik Malaysia.

Namun begitu, selepas mula meraih perhatian peminat dari luar Indonesia, bekas vokalisnya, Is menarik diri daripada band itu.

Hal itu tidak menjejaskan perjuangan muzik Payung Teduh sebaliknya menjadi permulaan baharu buat mereka untuk terus berkarya.

Alejandro selaku pemain dram mewakili teman-temannya berkata, nama dan seni mereka terus berkembang mengikut aturan waktu.

“Sebagai band yang berkarya atas dasar cinta kepada seni, kami terus berkembang. Walaupun Is menarik diri daripada Payung Teduh, kami masih lagi berada dalam komuniti muzik.

“Komuniti ini sendiri sebenarnya luas dan ramai pemuzik serta penyanyi yang boleh kami cari untuk mengisi ruang yang ada dalam Payung Teduh,” katanya.

Sedekad mengorak langkah di persada seni memberikan pelbagai pengalaman, ilmu serta pengajaran buat mereka.

“Kami bermula sebagai band kampus. Jadi, populariti itu kami letak ke tepi kerana yang paling penting adalah berkarya.

“Kalau nama kami dikenali dan melalui muzik kami boleh meraih populariti, itu bonus,” kata Comi selaku pemain kontra bass.

Selepas Is, Payung Teduh yang memperjuangkan muzik bernuansa Jazz, folk dan keroncong itu menggunakan khidmat Ivan selaku vokalis.

“Tak menjadi masalah untuk bekerjasama kerana kami memang berkawan. Peminat juga memberikan reaksi positif,” kata Comi lagi.

Sebuah lagu untuk Disney

Peluang untuk berkolaborasi dengan jenama gergasi seperti Disney ibarat bulan jatuh ke riba. Malah ia percapaian membanggakan buat Payung Teduh apabila berpeluang menghasilkan lagu tema filem animasi Ralph Breaks the Internet: Wreck-It Ralph 2.

Alejandor selaku komposer yang menghasilkan karya berjudul Sebuah Lagu itu berkata, ia satu tugas besar buatnya dan seluruh anggota Payung Teduh.

“Seperti yang semua sedia maklum, Wreck-It Ralph filem animasi yang agresif dari segi rentak perjalanannya dan sangat berbeza dengan muzik yang kami bawakan.

“Jadi, satu cabaran besar buat saya untuk menterjemahkan lagu itu dengan muzik kami. Kami masih kekalkan rentak perlahan, namun selitkan beberapa elemen yang sesuai dengan filem,” katanya.

Dek kerana itu, Payung Teduh menggunakan suara pengurus mereka, Marsya Ditia yang kini secara rasmi diserap sebagai anggota kumpulan.

“Suara Marsya sesuai dengan nada lagu yang saya hasilkan, sekali gus kedengaran sangat mesra dengan kanak-kanak yang menjadi penonton sasaran filem ini,” katanya.

Marsya yang sebelum ini hanya bekerja di belakang tabir mengakui gementar, namun akan terus memperbaiki kekurangannya sangat berada di atas pentas.

“Saya gugup apabila diminta menyanyi secara langsung. Apapun, saya akan terus belajar dan perbaiki apa yang kurang,” katanya.

Secara ringkas, Sebuah Lagu mengisahkan persahabatan antara Ralph dan Venellope yang mana ia tidak lari jauh daripada apa yang diperjuangkan band itu.

“Ia mengisahkan rakan yang sentiasa ada antara satu sama lain. Kami juga ingin tonjolkan nilai itu dalam karya yang dihasilkan,” kata Alejandro.

Video muzik Sebuah Lagu akan ditayangkan sebagai lagu penutup kedua dalam filem itu di samping lagu penutup pertama berjudul Zero yang dipopularkan Imagine Dragon.

Menariknya, video muzik itu hanya ditayangkan dalam filem Ralph Breaks the Internet: Wreck-It Ralph 2 untuk pasaran Indonesia dan Malaysia saja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 10:01 AM