Fitri bersama anaknya, Sofea. FOTO Ihsan Fitri Haris
Fitri bersama anaknya, Sofea. FOTO Ihsan Fitri Haris
Sudirman Mohd Tahir


"SELEPAS lapan tahun tidak bersama anak, kini giliran saya pula menjaganya. Apatah lagi pada usianya sekarang menjadi tanggungjawab saya memastikan anak sudah lengkap dan menguasai ilmu fardhu ain," kata penyanyi Fitri Haris mengenai anak perempuannya, Sofea Solehah, 13.

Fitri, 33, atau nama sebenarnya Mohamad Fitri Mohamad Haris berkata selepas bercerai anaknya tinggal bersama bekas isteri di Singapura.

Namun, sepanjang tempoh itu Fitri mengakui tidak pernah gagal menjalankan kewajiban dan tanggungjawab sebagai bapa meski dalam waktu sama dia melanjutkan pelajaran di New Zealand dan United Kingdom (UK).

"Sebelum ini saya pernah cakap dengan bekas isteri sekiranya habis belajar dan kembali menetap di sini, saya mahu anak bersama saya pula. Apatah lagi sekarang bekas isteri sudah lebih setahun berkahwin semula.

"Lagi pula, sebagai bapa saya kena bertanggungjawab atas banyak perkara. Tidak mahu nanti orang cakap saya sibuk berdakwah dan nyanyi lagu kerohanian, didikan agama anak terabai.

"Walaupun sepanjang tidak bersama, saya masih menitikberatkan soal itu. Saya akan mengajarnya mengaji secara atas talian dan periksa semua berkaitan ilmu fardhu ain. Malah, kalau pulang ke Malaysia, saya akan melawat dan meluangkan masa dengannya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Fitri yang juga juara program Gema Gegar Vaganza (GGV) musim kedua, dia kini dalam proses mencari sekolah baru untuk anaknya di sekitar Changlun atau Alor Setar, Kedah.

"Alhamdulillah, anak okey dan tak ada masalah nak tinggal dengan saya. Sekarang dia bersama saya.

"Cuma, memandangkan saya kini tinggal di Changlun, jadi saya kena cari sekolah menengah di kawasan ini. Kalau tak ada yang bersesuaian, mungkin cari di sekitar Alor Setar dan terpaksa ulang alik," katanya.

Dalam perkembangan lain, Fitri sedang mempersiapkan diri untuk menjayakan konsert 2 Dunia bersama penyanyi Lan Solo yang bakal berlangsung pada 14 Disember ini di Dewan Tunku Syed Putra Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 November 2018 @ 3:10 PM