Anding akui semua pelakon Pentas Mud berbakat besar. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Anding akui semua pelakon Pentas Mud berbakat besar. FOTO NURUL SHAFINA JEMENON
Syafil Syazwan Jefri


PELAKON dan penyanyi, Anding Indrawani, 35, mengakui tersentuh sehingga menitiskan air mata apabila menonton sesi latihan teater muzikal, Mud The Musical: The Story of Kuala Lumpur (Mud) yang akan dipentaskan semula oleh pelakon-pelakon kanak-kanak.

Menurutnya, sepanjang tiga tahun dan lebih seribu kali beraksi sebagai Anang di pentas Mud, banyak pengalaman dan kenangan indah sekaligus membuatkan tersentuh saat diberitahu bahawa ia akan dipentaskan semula.

"Ahad lalu, saya hadir untuk menonton sesi latihan Mud yang dilakonkan oleh pelakon kanak-kanak. Banyak kenangan yang muncul di ingatan saya kerana Mud bukan sekadar teater, tapi sudah menjadi sebahagian kehidupan saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kesemua pelakon-pelakon teater muzikal itu seperti sebuah keluarga besar.

“Kami ada ‘group’ di WhatsApp dan memang aktif. Bukan sekadar rakan sekerja. Bayangkan, ada antara kami yang bercinta sesama sendiri, bahkan ada yang berkahwin dalam kalangan kami semua,” katanya.

Diminta mengulas mengenai pelakon-pelakon kanak-kanak yang akan beraksi di pentas Mud pada 14 hingga 22 Disember depan, Anding mengakui mereka semua berbakat besar.

“Dari sudut profesionalism, mereka sangat profesional. Mereka cepat ‘menangkap’ lagu, muzik dan lakonan semasa sesi latihan. Saya yakin, mereka akan berikan persembahan terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 2:31 PM