TERUJA gambar itu berjaya menarik perhatian ramai. FOTO - Arkib NSTP
TERUJA gambar itu berjaya menarik perhatian ramai. FOTO - Arkib NSTP
Georgie Joseph


PENYANYI dan pelakon Elizabeth Tan terkejut dengan maklum balas diterima daripada pengikut apabila memuat naik foto dia bertudung dalam Instagram, semalam.

Elizabeth, 24, yang juga dikenali sebagai Lizzy berkata, foto itu dikongsinya disebabkan pertama kali dia memakai tudung bagi memenuhi tuntutan watak dalam drama.

“Ini pengalaman pertama saya memakai tudung dan semestinya sangat teruja. Tidak sangka pula foto itu menarik perhatian ramai dan maklum balas yang luar biasa.

“Terima kasih buat yang memberi pujian serta kata-kata positif. Apapun, harap semua ‘chill’ saja kerana saya memakai tudung bagi membawa watak wanita mualaf bernama Ain dalam drama berjudul Senafas Rindu,” katanya.

GAMBAR bertudung dimuat naik Elizabeth Tan di Instagram menerima lebih 100,000 ‘likes’ dalam tempoh 21 jam , semalam. FOTO - IG/Elizabeth Tan
GAMBAR bertudung dimuat naik Elizabeth Tan di Instagram menerima lebih 100,000 ‘likes’ dalam tempoh 21 jam , semalam. FOTO - IG/Elizabeth Tan

Dalam pada itu, Lizzy juga meminta pihak yang tidak menyenangi fotonya itu supaya tidak menjadikannya isu besar.

“Sebagai pelakon, saya kena profesional untuk menjayakan watak seperti dikehendaki pengarah. Saya berani menyahut cabaran ini disebabkan ia sebuah naskhah yang naik.

“Saya membawa watak mualaf. Sebenarnya watak saya bertudung adalah untuk beberapa episod saja,” katanya.

Foto yang dikongsinya sejak semalam itu menerima lebih 109,000 ‘likes’ dalam tempoh 21 jam.

Turut berlakon dalam drama itu ialah Syafiq Kyle yang pertama kali berganding dengan Lizzy.

“Saya belum berjumpa lagi dengannya, cuma Ahad ini barulah ada babak kami bersama. Memang teruja sangat kerana Syafiq antara pelakon popular sekarang. Saya dimaklumkan dia pelakon yang baik dan mudah bekerjasama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 September 2018 @ 6:48 PM