AHMAD Zaini (belakang lima dari kanan), Alfian (belakang lima dari kiri) , Abdul Al Halim (belakang tengah) dan Shamsul Azree (kanan) bersama bersama finalis ABPBH31 di Istana Budaya, hari ini. FOTO Nurul Syazana Rose Azman.
AHMAD Zaini (belakang lima dari kanan), Alfian (belakang lima dari kiri) , Abdul Al Halim (belakang tengah) dan Shamsul Azree (kanan) bersama bersama finalis ABPBH31 di Istana Budaya, hari ini. FOTO Nurul Syazana Rose Azman.
Rudy Imran Shamsudin


TIADA senarai Top 5 diumumkan pada Anugerah Bintang Popular BH ke-31 (ABPBH31) bagi memberi ruang kepada peminat terus mengundi artis kesayangan mereka.

Menurut Pengarang Hiburan BH merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH31, Shamsul Azree Samshir berkata, senarai artis Top 5 setiap kategori hanya akan diketahui pada malam anugerah berlangsung.

“Sebelum ini pencalonan Top 5 diumumkan awal kerana undian tutup awal. Bagaimanapun tahun ini undian ditutup lewat iaitu 25 September.

“Kami merasakan mekanisma undian terbaru ini lebih baik kerana ia memberi ruang pada peminat untuk terus mengundi, lebih-lebih lagi kepada mereka yang suka mengundi pada saat akhir,” katanya yang ditemui di majlis Pengumuman Pra Kemuncak ABPBH31 di Istana Budaya, hari ini.

Hadir sama, Pengarang Eksekutif BH, Datuk Zaini Kamaruzzaman; Ketua Pegawai Komersial NSTP, Alfian Abu Talib; Pengasas Alha Alfa Cosmetics, Datuk Abdul Al Halim Mohd Al Fadzil serta Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.

Jumlah undian diterima sepanjang kempen ABPBH31 meningkat mendadak iaitu 12.8 juta berbanding tahun lalu hanya 1.5 juta sahaja.

Dalam perkembangan lain, pengacara program infotainment popular, Melodi iaitu Ajak dan Janna Nick dipilih sebagai pengacara ABPBH31 yang bakal berlangsung 7 Oktober depan.

Turut dipilih untuk bergandingan dengan Ajak dan Janna di majlis bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu adalah dramatis jelita, Zara Zya.

Penonton malam anugerah ABPBH31 bakal dihiburkan dengan persembahan daripada Aizat, Hafiz Suip, Sufian Suhaimi, Siti Sarah, Misha Omar, Ismail Izzani dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 8:22 PM