Rudy Imran Shamsudin

PENGARAH, Michael Ang menjelaskan dia sedikit pun tidak ambil hati apabila Fathia Latiff mengutuk dan menghinanya di Instagram.

Ia susulan dakwaan aktres itu di Instagram bahawa bekas kekasihnya, pelakon, Aiman Hakim Ridza, masih belum membayar hutangnya.

Michael berkata, tindakannya memberi komen berhubung status Fathia berhubung isu hutang itu adalah lebih kepada untuk memberi nasihat.

“Saya menyatakan kalau betullah Aiman berhutang, sebaiknya ia dituntut depan-depan dan tidak perlulah mengaibkan pelakon itu di sosial media.

“Bagaimanapun saya teringat kembali sewaktu saya mengarahkan Aiman dalam drama ‘Isteri Separuh Masa’... memang dia ada buat skim pelaburan.

“Dia mengajak saya melabur dalam skim itu dan saya percaya Fathia pun turut melabur,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Michael berkata, apa yang dituntut Fathia mungkin adalah pelaburan pokok yang pernah diberikan untuk menyertai skim itu.

“Kalau membabitkan skim pelaburan, bermakna ia bukanlah hutang kerana kalau dia mahu jual ‘share’, cakaplah dengan jelas.

“Lagipun setahu saya pasaran saham terbabit tidak bagus dalam situasi sekarang dan berapa saja dia boleh dapat balik kalau dijual kembali,” katanya.

Michael bagaimanapun mengakui sedikit kesal kerana namanya terheret dalam isu membabitkan bekas pasangan kekasih itu.

Namun, dia berasa bertanggungjawab untuk mempertahankan Aiman memandangkan pelakon itu adalah artis yang pernah bekerja dengannya.

“Sebenarnya saya kasihan dengan Fathia. Industri Malaysia ini kecil dan yang ada bakat berserta rupa tidak banyak.

“Memandangkan dia memiliki itu mengapa dia harus mensia-siakan apa yang Tuhan berikan kepadanya.

“Apa yang saya katakan di laman Instagram saya itu bertujuan untuk menegur supaya Fathia sedar akan kesilapannya.

“Jujur saya sedikit pun tidak ambil hati dengan kutukan dibuat Fathia dalam Instagram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 12:26 AM