KEANU Reeves.
KEANU Reeves.
Ardini Sophia Sina

Lebih tiga dekad dalam industri seni lakon, Keanu Reeves tidak pernah sekali pun memperlekehkan watak yang diberikan kepadanya. Dia tetap memberikan yang terbaik walaupun karakter berkenaan pernah dilakonkan sebelum ini.

Kata pelakon berusia 54 tahun ini, dia sentiasa memberikan yang terbaik kerana lakonan adalah jiwanya. Dia hanyalah seorang anak seni yang suka bercerita menerusi lakonan.

“Apa pun watak yang diberikan, saya tidak akan menilai dan membandingkan dengan karakter yang pernah dijayakan sebelum ini. Sejak awal pembabitan dalam dunia seni, saya cuba berikan yang terbaik.

“Perasaan terhadap dunia lakonan tidak pernah berubah. Jiwa dan cinta saya sehingga kini sama seperti kali pertama saya bertapak sebagai pelakon.

“Selain berlakon dan menghasilkan filem, saya tidak tahu mahu buat apa lagi. Kalau berpeluang memegang watak bagus dalam sebuah filem berkualiti, saya rasa cukup gembira dan bertuah,” katanya.

Kerap terbabit dalam filem aksi dan ‘thriller’, pelakon yang terkenal dengan watak John Wick ini bakal muncul dengan filem romantik komedi berjudul Wedding Destination.

Kali terakhir Reeves berlakon dalam cerita genre romantik adalah pada 2003 berganding dengan Diane Keaton. Selepas 15 tahun, Reeves sekali berlakon dengan Winona Ryder dalam Wedding Destination.

Sebelum ini, mereka pernah bergandingan dalam filem Bram Stoker’s Dracula pada 1992. Peluang bekerjasama dengan Winona membuatkan Reeves gembira.

“Saya sangat seronok dap at bekerja dengan Winona sekali lagi. Dia aktres yang hebat. Kami gembira dapat berganding dalam filem ini.

“Saya memegang watak jejaka pesimis manakala karakter Winona pula lebih optimis. Ada banyak babak kami bertelingkah.

“Tidak banyak filem romantik komedi yang saya lakonkan. Saya suka skrip dan pengalaman dramatik yang dilalui kedua-dua karakter dalam Wedding Destination,” katanya.

Kata pelakon itu lagi, dia dan Winona sudah lama berkawan. Malahan mereka kerap berhubung bertanya khabar.

Berita pembikinan semula filem sains fiksyen The Matrix tidak mengejutkan pelakon utama karya itu. Dia menyokong penuh usaha itu dan berharap naskhah terbabit menjadi lebih baik.

“The Matrix sesuai diterbitkan sekali lagi. Saya sendiri ternanti-nanti tayangan filem dengan suntikan baru ini.

“Mereka pastinya ada idea lain dan dapat menampilkan naratif lebih segar. Tidak mustahil ia jadi filem wajib tonton,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 9:56 AM