Ayda Jebat

Salam Ahad dan selamat berehat semua pembaca ruangan Muahciked ini.

Semoga sentiasa sihat dan gembira di samping yang tersayang. Minggu ni penuh ‘timeline’ Instagram dengan gambar dan video makan durian, ‘kan?

Memang musim durian ke? Sebelum ini harga sebiji buah durian seakan-akan tidak masuk akal dan kena fikir tiga empat kali untuk membelinya. Namun, sejak kebelakangan ini harga raja buah itu jatuh dengan mendadak membuatkan ramai yang merebut peluang membelinya.

Boleh dikatakan sekarang ini di mana saja ada bau durian. Dalam rumah bau durian, dalam kereta dan di pejabat pun ada bau durian.

Bukan setakat itu, dalam media sosial juga, sama ada Facebook atau Instagram ramai yang memuat naik gambar durian.

Tidak dinafikan, Adik juga tidak melepaskan peluang untuk menikmati durian. Namun Adik bukanlah penggemar tegar kerana bimbang jatuh sakit, susah pulak nak kerja.

Baru-baru ini, ada kawan belanja makan durian ketika Adik sibuk menjalani penggambaran. Kalau orang lain mungkin sebiji untuk dia seorang tapi bagi Adik, cukup sekadar tiga ulas sebab bimbang sakit tekak dan demam.

Hakikatnya, durian amat digemari kebanyakan orang di negara ini. Apabila musim durian, hujung minggu, jalan raya menuju kampung-kampung dan dusun-dusun mesti sesak.

Ramai kawan Adik yang balik ke kampung, sebab nak angkut buah durian. Maklumlah dusun tengah berbuah jadi inilah masanya. Walaupun ramai yang teruja menikmati buah durian tapi harus diingat janganlah terlalu ikut perasaan.

Adik harap anda semua makanlah dengan berpada-pada dan jangan sampai jatuh sakit dek penangan buah durian yang bermacam jenis seperti Musang King dan lain-lain.

Pastikan selepas makan durian, anda minum air dengan secukupnya dan hindari makan durian dalam keadaan perut kosong. Makanlah durian selepas makan tengah hari.

Selain itu, lepas makan durian, jangan tambah dengan makanan yang mengandungi gula kerana akan meningkatkan kadar gula dalam badan.

Apapun selamat menjamu selera dan jangan lupa Adik ya.

Kalau ada peminat yang ada dusun durian pula, ajak Adik okay.

Jika ada yang pos hingga ke rumah, bagus juga. Bukan Adik nak makan sakan, tapi teringin ketuk kepala Shah dengan durian tu sebab menggatal dengan Husna! Hahah!

#OhDurian

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Julai 2018 @ 4:10 AM