WAN Hanafi menganggap Beto Kusyairy (gambar kecil, kiri) dan Shaheizy Sam (gambar kecil, kanan) berpotensi besar untuk menjadi legenda. FOTO NSTP
WAN Hanafi menganggap Beto Kusyairy (gambar kecil, kiri) dan Shaheizy Sam (gambar kecil, kanan) berpotensi besar untuk menjadi legenda. FOTO NSTP
Syafil Syazwan Jefri


BERJUANG dalam industri seni tanah air sejak era 1970-an, pelakon, Wan Hanafi Su, 68, mengakui banyak perkembangan positif dalam industri si lakon tanah air.

Namun begitu, dia juga tidak menafikan ada beberapa hal negatif yang dilihat dari sudut pandangnya sebagai pelakon senior iaitu kejutan budaya.

“Pelakon baru muncul di dalam industri dan menjadi pelapis kepada pelakon-pelakon senior. Ada yang saya boleh puji kemampuan mereka.

“Namun, dalam pada itu, saya dapat lihat ramai pelakon generasi baru ini kadang-kadang mudah tergoda dengan populariti mendadak yang digapai mereka,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut pelakon yang pernah memegang beberapa anugerah terbaik dalam bidang lakonan itu lagi, itu sekaligus membuatkan mereka kurang fokus kepada lakonan sebaliknya mengejar populariti semata-mata.

Diminta untuk menamakan pelakon selepas era kegemilangannya yang berpotensi besar untuk menjadi legenda, Wan Hanafi menyebut beberapa nama.

“Setiap kali ditanya soalan ini, ada beberapa nama yang saya akan sebut. Antaranya adalah Beto Kusyairy dan Shaheizy Sam.

“Kalau berlakon dengan mereka, keserasian itu datang dengan sangat pantas. Tak perlu ambil masa yang lama pun.

“Dengan hanya sekali pandang, saya dah dapat rasa dan jiwa untuk membawakan watak yang diberikan,” katanya.

Menurutnya, dua nama ini adalah pelakon yang benar-benar berjiwa seni.

“Mereka inilah yang punya jiwa seni sejati. Sebagai pelakon, kita nak pelakon yang begini. Yang betul-betul berjiwa lakonan. Bukan yang ‘fake,’” katanya.

Wan Hanafi memulakan langkahnya dalam bidang lakonan menerusi drama Wira pada 1978 yang menjadi drama pertama disiarkan secara berwarna di RTM.

Sehingga kini, Wan Hanafi membintangi lebih 100 drama puluhan filem.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 4:09 PM