FOTO Ihsan IG Siti Saleha
FOTO Ihsan IG Siti Saleha
Najiy Jefri


PELAKON Siti Saleha membuat kejutan dengan melawat adik Thaqif, 16, yang menghidap penyakit kanser tulang di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, semalam.

Saleha berkata, dia amat berbesar hati apabila dimaklumkan adik Thaqif adalah peminat dan ingin berjumpa dengannya.

“Pada mulanya saya bercadang untuk melawat pesakit kanser namun tidak dibenarkan atas prosedur tertentu.

“Bagaimanapun sebaik mengetahui kehadiran saya di situ, jururawat bertugas memaklumkan seorang kanak-kanak yang menghidap kanser tulang dari wad pediatrik meminati drama lakonan saya dan ingin berjumpa.

“Jadi saya ambil kesempatan itu untuk terus berjumpa dengannya," katanya.

Menurut Saleha, meskipun sempat meluangkan masa selama hampir sejam, namun dia berpuas hati kerana dapat memenuhi impian kanak-kanak itu.

“Sebaik saya berjumpa dengannya, dia berasa malu dan tidak menyangka saya boleh berada di situ.

“Saya cuba untuk memeluknya, tetapi dia tidak larat untuk mengangkat badan disebabkan terlalu lemah.

“Jadi saya hanya boleh memberikan kata-kata semangat untuknya. Saya berharap kehadiran semalam sedikit sebanyak dapat memberi keceriaan dalam hidupnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 6:21 PM