RED Velvet.
RED Velvet.
Georgie Joseph

Annyeonghaseyo!!! Seluruh dunia tahu mengenai perbalahan di antara Korea Selatan dan Korea Utara.

Bagaimanapun, baru-baru ini kumpulan wanita Red Velvet mendapat pelepasan memasuki Korea Utara selepas mendapat jemputan dari negara itu.

Mereka mendapat permintaan membuat persembahan sempena Kejohanan Olimpik Pyeongchang.

Red Velvet antara 160 delegasi yang dihantar ke sana untuk menjayakan dua persembahan di Pyongyang bermula 31 Mac hingga 4 April ini.

Persembahan pertama akan diadakan di East Pyongyang Grand Theatre manakala lokasi seterusnya adalah Ryukyung Chung Ju Yung Gymnasium.

Inisiatif mengejutkan itu adalah projek bersama dua negara berkenaan hasil usaha Hyundai Group.

Turut membuat persembahan adalah penyanyi veteran Cho Yong Pil, Lee Sun Hee dan Cho Jin Hee.

Cho Yong Pil penyanyi terakhir dari Korea Selatan yang pernah membuat persembahan di negara itu pada 2005.

Ketua delegasi Korea Selatan yang juga penyanyi dan penerbit rakaman, Yoon Sang berkata, mereka pasti akan mengagumkan penonton di Korea Utara.

“Sewaktu berada di pentas, saya percaya kami tidak akan fikirkan perasaan peribadi terhadap isu panas antara kedua-dua negara. Tugas kami ialah untuk memberikan persembahan yang terbaik buat penonton di sana.

“Hiburan yang kami berikan adalah sama rata sebagaimana kami selalu lakukan untuk penonton di negara sendiri. Kami akan memastikan tidak tercetus langsung rasa janggal dalam kalangan penonton,” katanya.

Lawatan berkenaan adalah satu langkah untuk membalas jasa Korea Utara yang turut menghantar penghibur mereka sewaktu Kejohanan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang di Korea Selatan, baru-baru ini.

Ia juga adalah antara usaha memperbaiki hubungan dua hala di antara dua negara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 2:50 AM