SYUK
SYUK
Norhayati Nordin

Meskipun jadual padat dengan pelbagai aktiviti seni, pelawak dan penyampai radio Hot FM, Syuk, 31, tetap mengutamakan masa bersama keluarga.

Oleh itu, Syuk bercadang membawa isterinya, Rossalennah Natassyiah Asshaferah, 26, dan anak mereka, Nur Qurratu Ain, pergi bercuti.

Apatah lagi, si kecil pengikat kasih sayang Syuk dan isteri tercintanya itu kini berusia setahun lima bulan.

“Anak saya sudah pandai berjalan dan bermain. Jadi, percutian kami sekeluarga nanti semestinya akan seronok.

“Malah, saya bercadang membawa keluarga bercuti ke destinasi pulau yang air lautnya bersih dan pemandangan pun cantik,” katanya.

Ditanya bilakah tarikh dia akan merealisasikan hasrat itu, Syuk berkata ia belum diputusan dan masih dalam perbincangan.

Berbicara mengenai kariernya di konti, Syuk berkata dia sangat selesa menggalas tugas sebagai penyampai radio.

“Kini, jiwa saya makin serasi bekerja di konti selain berlawak. Terus terang, pengalamannya sangat menyeronokkan.

“Bekerja pula dengan Ajak dan Fizie mengemudi segmen Gang Pagi Hot, gandingan kami bertiga memang serasi.

“Syukur, impian saya tuntuk bertugas sebagai penyampai radio dimakbulkan Ilahi,” katanya.

Syuk yang baru-baru ini tewas di gelangang akhir Bintang Bersama Bintang (BBB) di TV3, memberitahu dia akur tidak ada rezeki untuk menang.

Bahkan, Syuk juga tidak menyalahkan bintang undangannya, pelakon Uqasha Senrose yang dikatakan menjadi punca dia tewas.

Syuk disebut-sebut sebagai juara kerana persembahan lawak yang sentiasa konsisten pada setiap minggu.

Namun, akibat terlalu banyak kesilapan di atas pentas terutama yang didakwa berpunca daripada Uqasha secara tidak langsung menutup peluang Syuk untuk muncul juara.

Syuk berkata Mark Adam memang layak menang pada malam itu dan dia kalah bukan kerana Uqasha.

“Bukan salah Uqasha dan jangan salahkan dia (Uqasha). Saya pun tak tuding jari terhadap Uqasha di atas apa yang sudah berlaku di gelanggang akhir BBB itu.

“Kami sudah berlatih dengan sebaik-baiknya, cuma adatlah apabila perancangan yang sudah dibuat dari awal itu tiba-tiba tidak menjadi. Ia adalah ketentuan Yang Maha Esa,” katanya

Bagaimanapun, Syuk atau nama sebenarnya Muhammad Shukri Mohamed Sahar memuji komitmen diberikan oleh Uqasha dan berterima kasih pada pelakon itu kerana sudi menjadi bintang undangannya.

Mengulasmengenai niat murni Mark Adam yang sedia membagikan hadiah RM100,000 dimenangi bersama empat peserta lain, Syuk berkata perkara itu adalah persetujuan bersama.

“Selepas kami berlima iaitu saya, Mark, Achey, Ajak dan Issey diumumkan mara di pentas final BBB, perbincangan dibuat untuk membahagikan hadiah yang dimenangi.

“Tidak kira siapa di antara kami berlima yang akan muncul juara, hadiah kemenangan akan diagihkan iaitu 40 peratus menjadi milik juara manakala 60 peratus lagi akan dibahagikan kepada empat peserta lain,” katanya.

Menurut Syuk, persetujuan itu dibuat untuk berlaku adil kepada semua finalis bertanding supaya tidak ada seorang pun balik dengan tangan kosong kerana hadiah hanya disediakan untuk juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Mac 2018 @ 12:09 PM