Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Malang tidak berbau dan itu yang berlaku kepada pengarah prolifik Michael Ang sewaktu menjalani penggambaran drama bersiri khas Tiamor Sweetheart 100 Hari di Rome, Itali, dua minggu lalu.

Drama yang bakal ditayangkan pada Aidilfitri itu nanti menampilkan barisan pelakon popular Neelofa, Zul Ariffin, Scha Al-Yahya dan Elvina Mohammad.

Pengarah dan penerbit itu berdepan detik hitam apabila kenderaan yang mereka gunakan dipecah masuk.

Menceritakan kejadian itu, Michael berkata, ia berlaku pada hari keempat penggambaran.

“Ketika itu penggambaran dilakukan pada waktu malam di kawasan perumahan. Pengurus produksi meninggalkan barangan di dalam kereta dan ia menarik perhatian pencuri untuk pecah masuk.

“Antara yang ditinggalkan dalam kereta adalah wang tunai 500 euro (RM2,390) dan RM1000. Segala dokumen tuntutan juga hilang,” katanya.

Sambung Michael, pengurus produksi terbabit terkejut mendapati cermin kereta pecah dan semua wang tunai serta dokumen tuntutan hilang.

“Ia berpunca daripada kecuaian. Pengurus produksi mungkin menganggap tidak mengapa meninggalkan kereta seketika tanpa memikirkan implikasi yang bakal berlaku,” katanya.

Michael berkata, dia sedia maklum kadar jenayah rompakan di Itali, terutama di bandar yang menjadi tumpuan pelancong seperti Rome sangat tinggi.

“Tidak sangka pula, kejadian yang kita selalu nampak dan dengar itu menimpa kami,” katanya.

Walaupun kehilangan wang tunai dan beberapa dokumen, Michael menarik nafas lega kerana barangan lebih penting seperti dokumen kebenaran untuk menjalankan penggambaran dan juga pita rakaman drama sebelum itu tidak ditinggalkan di dalam kereta.

“Ini adalah pengalaman pertama saya berdepan kejadian kereta dipecah masuk sewaktu menjalankan penggambaran di negara asing,” katanya. Berikutan kereta terbabit disewa, Michael terpaksa menanggung kos kerosakan cermin.

“Syukur, sekurang-kurangnya kejadian ini tidak mengancam nyawa pekerja produksi dan barisan pelakon,” katanya.

Tambah Micheal, kejadian itu bagaimanapun menjadi pengajaran kepada semua kru dan pelakon agar lebih berhati-hati apabila bekerja di negara asing.

“Kawasan yang menjadi tumpuan pelancong tidak semestinya selemat. Apa yang berlaku pada produksi Tiamor Sweetheart 100 Hari benar-benar menjadi pengajaran buat kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 4:04 AM