Pansha (kanan) dan Yusof Haslam terus fight untuk penerbit lain. FOTO fail HM
Pansha (kanan) dan Yusof Haslam terus fight untuk penerbit lain. FOTO fail HM
Amirul Haswendy Ashari.


KETUA Pegawai Eksekutif PFM, Pansha Nalliah menafikan dakwaan Skim Wajib Tayang (SWT) bersikap pilih kasih dalam menentukan jumlah panggung tayangan filem terbitan tempatan.

“Kebetulan sahaja filem besar tempatan dapat jumlah panggung banyak sebab ia mengikut kekuatan filem itu sendiri. Ada juga filem besar yang dapat jumlah panggung sedikit kerana ia bergantung kepada kualiti filem itu sendiri.

“Sebagai AJK SWT, saya dan Datuk Yusof sudah ‘fight’ terutama Datuk Yusof paling lantang bersuara bagi pihak penerbit lain,” kata Pansha ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Hal sama dikongsikan Yusof yang berpendapat kebanyakan penerbit tidak faham dengan cara PFM mengendalikan mesyuarat bersama dalam SWT.

Pemilik Skop Production itu mengakui masalah dihadapi oleh Ahmad Idham dan meminta dia bersabar kerana SWT tidak akan berhenti melakukan terbaik kepada semua filem terbitan tempatan yang layak.

Katanya, PFM sentiasa memperjuangkan nasib filem tempatan sejak SWT dikuatkuasakan 2005 lalu.

Jelasnya, pemamer (panggung) akan nyatakan jumlah panggung bersesuaian untuk filem yang melalui SWT dan perbincangan dua hala dilakukan bagi mendapatkan jumlah panggung yang wajar.

“Kadang kala pemamer memberi antara 10 ke 20 panggung sahaja tetapi kami akan ‘paksa’ pemamer naikkan jumlah panggung kepada 25 sehingga 40 panggung mengikut kesesuaian.

“Sekiranya filem itu mendapat permintaan tinggi kalangan peminat, pemamer akan menambah jumlah panggung dan waktu tayangan tanpa banyak soal,” katanya.

Beliau meminta produser kecil perlu memastikan filem dihasilkan mencapai ‘production value’ (nilai produksi) yang mencapai taraf filem, bukan seolah layak ditayangkan di TV semata-mata.

Sebelum ini, Ahmad Idham menyatakan kekecewaan filem terbaru arahannya, Hantu Wangan sekadar diberi 29 panggung untuk tayangan bermula 22 Mac depan.

Dia juga mendakwa SWT tidak bersungguh-sungguh untuk perjuangkan nasib penerbit kecil yang sering berdepan isu kurang panggung tayangan filem terbitan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Februari 2018 @ 8:29 PM