Faizal serah kepada ketentuan Allah. FOTO Amirudin Sahib
Faizal serah kepada ketentuan Allah. FOTO Amirudin Sahib
Ramlah Zainal


SELEPAS 11 tahun dalam bidang muzik, penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir percaya sampai masanya dia terbabit dalam aktiviti kemanusiaan sekali gus membantu golongan yang memerlukan.

Menurut Faizal, dia juga menubuhkan iamFaithmen pada 2016 untuk memberi inspirasi dan menggalakkan orang ramai untuk melakukan kebaikan.

Terbaru, Faizal menerusi iamFaithmen bekerjasama dengan badan kebajikan dari Brunei iaitu Hand4Hand dalam misi Faith For Rohingya itu.

Misi itu membawa bantuan bekalan makanan dan keperluan seharian ke kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh pada 5 hingga 8 Mac ini.

“Saya berasa terpanggil untuk menjayakan misi ini kerana simpati melihat keadaan kem pelarian dan kanak-kanak yang menderita akibat krisis kemanusiaan terbabit.

“Sebagai bapa pastinya hati saya berasa tersentuh melihat penderitaan mereka.

“Saya juga akan menggunakan medium muzik untuk menghiburkan pelarian dan kanak-kanak yang mengalami trauma dan tekanan emosi di kem pelarian terbabit nanti,” katanya.

Faizal ditemui pada majlis minum petang sempena Misi Faith For Rohingya yang berlangsung di Taman Tun Dr Ismail, hari ini.

Hadir sama, wakil dari Hand4Hand, Bahzi Damit.

Ditanya dari segi aspek keselamatan, Faizal berkata dia hanya menyerahkan kepada ketentuan Allah SWT

“Saya sedar perlu berdepan dengan cabaran mental dan fizikal untuk menjayakan misi ini.

“Saya juga perlu menjaga aspek kesihatan kerana misi ini membabitkan kawasan kem pelarian yang daif dan terdedah kepada jangkitan virus dan penyakit,” katanya.

Apapun, kata Faizal, dia berharap semoga misi itu akan membuka mata ramai pihak mengenai penderitaan yang dialami pelarian Rohingya itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2018 @ 9:29 PM