IKA (kiri) mengasihi Zaiton seperti ibunya sendiri.
IKA (kiri) mengasihi Zaiton seperti ibunya sendiri.
Adam Salleh (Yang menyertai rombongan penggiat seni ke Makkah dan Madinah dan Arab Saudi mengerjakan umrah anjuran Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih dengan kerjasama Pejabat Penasihat Perdana Menteri)


Sepanjang perjalanan ini

Lembah dan lurah kulewati

Ketenangan yang kucari, belum ketemui

Ku menghimpun doa bertahun

Mencari pepohon rimbun

Bertemu dahan yang rapuh

Dapat kuberteduh

Sebagaimana lirik lagu Menaruh Harapan, hakikatnya begitulah perjalanan hidup Zaiton Sameon.

Dalam meniti hari mendatang, Zaiton yang bakal mencecah usia 62 tahun pada Julai ini tidak mahu hidupnya seperti burung kepatahan sayap, sebaliknya yakin rahmat Tuhan sentiasa ada untuk hadirkan insan terpilih buat tempatnya mengadu.

Buktinya jelas, selain rakan rapatnya, Syed Wafa sewaktu pelepasan rombongan penggiat seni menunaikan umrah yang disempurnakan Pengerusi Yayasan Perdana Ummah (YPU), Profesor Datuk Seri Khairil Annas Jusoh dan Penasihat Perdana Menteri, Profesor Datuk Seri Khairil Annas Jusoh, ada insan lain yang tidak menjadi tumpuan media iaitu Datuk Sahwahid Mohamad Amin turut mengucapkan selamat jalan kepada Zaiton dan penggiat seni lain.

Sewaktu ditemui di hotel penginapannya di Madinah, Zaiton bersyukur kerana sejak tujuh tahun kebelakangan ini, dia ditemukan dengan insan yang tiada pertalian keluarga dengannya, Che Sekah Ismail, 45, atau Ika yang dianggap seperti anak sendiri yang tinggal bersamanya dan bertanggungjawab mengurus keperluan hariannya.

“Bagaimana Ika muncul dalam hidup saya, ceritanya amat panjang. Saya dapat rasakan dia menyayangi saya bagaikan saya ini ibu kandungnya sendiri, malah Ika pun memanggil saya ibu.

“Sepanjang di Madinah, dialah yang menolak kerusi roda saya setiap kali mahu mengerjakan solat di Masjid Nabawi. Saya bersyukur dapat menunaikan solat sunat di Raudhah,” katanya.

Apabila ditanya apakah doa dipanjatkan ketika di Raudhah, jawab Zaiton: “Saya mohon supaya Allah kembalikan ingatan saya sepenuhnya.”

Sempat juga Zaiton berseloroh: “Ada juga berdoa nak bertemu jodoh, ehh...melawaklah. Tapi kalau kau (penulis) mahu mudah masuk Raudhah, kau ikut aku.” Lalu dipintas Ika: “Mana boleh, dia lelaki!”

Keserasian jiwa antara Zaiton dan Ika, bak pencaturan Ilahi kerana kedua-duanya lahir pada bulan yang sama iaitu Julai (Zaiton lahir 2.7.1956 manakala Ika pula 12.7.1972).

Bagi Ika, selama berbakti kepada Zaiton, tidak pernah mengharapkan apa-apa ganjaran.

“Saya bersimpati dengan nasibnya. Saya tiada ibu bapa sejak berusia 10 tahun. Allah hadirkan Zaiton untuk saya anggap dia seperti ibu saya sendiri,” katanya.

ZAITON disayangi semua jemaah umrah.
ZAITON disayangi semua jemaah umrah.

Bagaimana Ika mengenali Zaiton tujuh tahun lalu agak menarik. Ika yang bekerja sebagai penyelia di sebuah kilang di Johor Bahru berkunjung ke kedai makan di Majidee dan kebetulan Zaiton menyanyi di karaoke kedai itu.

Menurut Ika, oleh kerana rakan-rakannya turut meminati Zaiton, mereka meminta penyanyi berasal dari Rembau itu mengalunkan suara di mejanya.

“Zaiton pula ‘sporting’. Oleh kerana kami terhibur, kami buat kutipan dan sedekahkan RM300 kepadanya,” katanya.

Selepas mengenali Ika, Zaiton yang tinggal bersama keluarganya di Johor Bahru ketika itu bercadang untuk tinggal di Kuala Lumpur.

Atas sokongan Syed Wafa dan kebetulan pula Ika mempunyai adik bertugas sebagai guru di sekolah Cina yang menetap di Bukit Indah, Ampang, mereka bersedia untuk menjaga Zaiton.

Sebaik menetap di Kuala Lumpur, aktiviti nyanyian Zaiton kembali bernafas kerana selain diuruskan Syed Wafa, Sahwahid Mohamad Amin atau Aji Tunggal iaitu ‘tauke’ Money Entertainment memberi peluang kepada Zaiton menyanyi untuk mencari pendapatan.

Bagi Aji Tunggal, Zaiton satu nama besar yang tidak sepatutnya disisihkan dalam industri seni tanah air.

“Saya anggap Zaiton seperti kakak sendiri,” katanya.

Bagi Ika, tidak pernah terduga suatu hari nanti dia akan menjejakkan kaki ke Tanah Suci.

“Apabila Prof Annas telefon beritahu Zaiton ditawarkan menunaikan umrah, saya jelaskan kepada beliau, Zaiton kena ada orang uruskannya. Terharu saya apabila beliau turut mempelawa saya untuk ke Tanah Suci bersama Zaiton. Syukur alhamdulillah, inilah yang dikatakan rezeki tidak disangka-sangka diberi Tuhan melalui insan seni bernama Zaiton Sameon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:01 AM