ANTARA babak emosi dalam Dekatkan Jarak Kita.
ANTARA babak emosi dalam Dekatkan Jarak Kita.
Michelle Gun


Drama bersiri Dekatkan Jarak Kita yang sudah melabuhkan tirai pada 25 Disember lalu mencatatkan lebih 9 juta tontonan sepanjang sebulan bersiaran di saluran TV3.

Pengarah Azman Yahya berkata pencapaian itu menandakan drama 15 episod berkenaan berjaya menambat hati penonton.

“Saya mewakili semua kru produksi bangga di atas pencapaian ini dan mengucapkan terima kasih kepada penonton kerana memilih drama ini untuk tontonan seisi keluarga.

“Saya bersyukur TV3 memberi kepercayaan kepada pihak kami untuk menghasilkan drama ini,” katanya.

Menurut Azman, sempena tahun baru, produksi JS Pictures berazam menghasilkan lebih banyak drama berkualiti bertemakan kekeluargaan.

“Penggambaran drama Dekatkan Jarak Kita berjalan lancar malah produksi turut mendapat sokongan kuat media dan penaja.

“Oleh itu, kami berharap penonton terus menyokong karya terbitan JS Pictures terutama siri baru Dekatkan Jarak Kita Raya yang bakal bersiaran pada Ramadan ini,” katanya.

Bukan saja di televisyen, Dekatkan Jarak Kita turut menjadi perbualan hangat di media sosial menerusi tanda pagar #DekatkanJarakKita sehingga menjadi sohor kini bagi setiap episod.

Di portal video tonton pula, drama ini mencatat lebih 80,000 tontonan.

Dekatkan Jarak Kita membariskan pelakon hebat Ayda Jebat, Syafiq Kyle, Wan Sharmila, Nadia Brian, Catriona Ross dan Azhan Rani.

Ia mengisahkan kembar tidak seiras, Tashriq dan Sofea tinggal bersama ibu mereka, Umi Khadijah selepas bapa mereka meninggal dunia kerana sakit jantung.

Sahabat baik keluarga itu, Tuan Kamil mahu menghulurkan bantuan namun Umi tidak menyedari lelaki terbabit sebenarnya berniat jahat dan ingin merampas harta mereka.

Maklumat lanjut boleh layari laman web www.tv3.com.my dan ikuti laman sosial Facebook, Twitter, Instagram dan youtube TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2018 @ 5:57 AM