SM Entertainment
SM Entertainment
Georgie Joseph


Agensi pengurusan artis penggerak utama kejayaan selebriti Korea Selatan. Kecekapan pengurusan akan menentukan sejauh mana seseorang artis mampu bertahan dalam industri hiburan negara itu.

Malah setiap agensi berlumba-lumba mengetengahkan strategi terbaik agar dapat bergerak pantas ke depan sekali gus diangkat sebagai paling berkredibiliti.

Malah, artis akan dinilai berdasarkan agensi yang dinaungi. Jika datang daripada agensi yang hebat, pasti mereka dipandang tinggi dan mudah mendapat tempat di hati peminat.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa ramai bakat muda sanggup melakukan apa saja demi diterima agensi paling berpengaruh.

Top 10 Bling! minggu ini menyenaraikan 10 agensi terbaik berdasarkan produk mereka selain jumlah keuntungan diraih pada 2016.

1. SM Entertainment

Agensi ini menduduki tangga teratas berikutan prestasinya yang mengagumkan. Sehingga kini agensi ini masih bertahan dan sentiasa membawa revolusi baru baik soal artis mahupun strategi pemasaran.

Terbaru, syarikat gergasi Alibaba melaburkan lebih RM122 juta bagi memastikan SM Entertainment dapat memajukan industri muzik digital di China.

Selain itu, agensi ini dipandang tinggi kerana corak latihan yang diberikan kepada bakat baru sentiasa ditambah baik. Disebabkan itulah produk mereka diiktiraf sebagai yang terbaik seperti BoA, TVXQ, Super Junior, Girls Generation, SHINee, f(x), Red Velvet, Kim Ryeowook, Taemin, Jonghyun, NCT dan EXO.

Pendapatan bersih agensi itu pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM66 juta.

2. YG Entertainment

Dilabel pesaing terdekat SM Entertainment, kelebihan agensi ini adalah berjaya menjenamakan artis mereka di pentas antarabangsa. Antaranya, G-Dragon, CL, dan PSY yang menjadi fenomena seantero dunia. Disebabkan itu, jangan hairan jika suatu hari nanti ia mampu merampas kedudukan SM Entertainment.

Syarikat media sosial gergasi China iaitu Tencent dan syarikat tiket dalam taliannya Weiying Technology melabur RM348 juta dalam agensi itu.

Pencapaian hebat CL yang berjaya menempa nama di Amerika Syarikat tahun lalu menjadi buah mulut ramai. Begitu juga BIGBANG dan BLACKPINK apabila berjaya mencipta kejayaan luar biasa.

Artis lain yang bernaung di bawah agensi ini antaranya 2NE1, WINNER, 1TYM, DJ Tukutz, MOBB, Kang Seung-Yoon, Minzy, Yang Hyun-Suk, Stony Skunk, Akdong Musician dan Katie Kim.

Pendapatan bersih agensi ini pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM146 juta.’’

YG Entertainment
YG Entertainment

3. JYP Entertainment

Meskipun jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan SM dan YG, JYP masih kukuh dan mencatat pelbagai kejayaan sepanjang 2016.

JYP melahirkan ramai penyanyi yang memiliki vokal unik. Malah, agensi ini memberi kebebasan kepada artis mereka untuk berhubung dengan peminat.

JYP juga sentiasa mengadakan uji bakat di seluruh dunia demi mencari bakat terbaik termasuk di Amerika Utara. Strategi itu membuahkan hasil apabila beberapa artisnya iaitu Suzy Miss A dan TWICE berjaya mencipta fenomena.

Antara artis lain yang bernaung di bawah JYP ialah G Soul, DAY 6, Wonder Girls, 2AM, 2PM, g.o.d., GOT7, Miss A, Baek A Yeon, Min, Park Ji Min, Baek Yerin, Hye-lim dan J J Project. Selain itu, Jo Kwon, Kim Tae Woo, Sunye, Park Jin-Young, Joon Park, Sunmi, Wang Fei Fei, Yubin, Jang Wooyoung, 15& dan Bernard Park.

Pendapatan bersih agensi ini pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM40 juta.

JYP Entertainment
JYP Entertainment

4. FNC Entertainment

2016 banyak melakar peristiwa mengejutkan buat FNC. Reputasi agensi ini tercemar apabila terpalit kontroversi dan skandal.

Antaranya, band FT Island menuduh agensi ini tidak berterima kasih kepada mereka apabila mendapat hadiah daripada peminat.

Bahkan anggotanya, Hongki menyuarakan rasa benci dan mahu keluar daripada FNC. Agensi ini turut disyaki memanipulasi keuntungan yang dikaut. FNS bagaimanapun menyelar semua tuduhan itu. Artis naungan FNC termasuk CNBLUE, FT Island, N Flying, AOA, AOA Cream, Hong-gi, Yonghwa, Jimin, Choa, Jong-hyun, InnoVator, SF9 dan Juniel.

Pendapatan bersih agensi ini pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM5 juta.

FNC Entertainment
FNC Entertainment

5. Cube Entertainment

Pada tahun lalu, Cube membuat percubaan dengan berhabis bagi mempromosikan kumpulan terbarunya PENTAGON.

Kumpulan itu dilihat memiliki potensi untuk mencipta fenomena luar biasa seperti BEAST yang sudah menamatkan kontrak dengan agensi ini.

Percubaan itu dilihat sebagai langkah untuk meraih semula keuntungan selepas mencatat banyak kerugian. Nampaknya apa yang diusahakan itu berhasil apabila PENTAGON diterima baik peminat, CLC diperkenalkan dan HyunA kembali aktif. Kehilangan BEAST benar-benar memberi pukulan hebat terhadap agensi ini.

Artis naungan Cube termasuk PENTAGON, BTOB, CLC, Yook Sungjae, Yoon Doojoon, HyunA, Ga Yoon, G NA, Jang Hyun Seung dan Lee Gikwang.

Pendapatan bersih agensi itu pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM5 juta.

CUBE Entertainment
CUBE Entertainment

6. Starship Entertainment

Agensi ini sudah menemui produk berpotensi iaitu Cosmic Girls. Dianggotai 12 ahli, kumpulan itu bakal diketengahkan ke pasaran China.

Starship juga bakal mengasah bakat solo anggota Cosmic Girls untuk melangkah lebih jauh. Terbaru, agensi ini menjalin kerjasama dengan King Kong Entertainment dan ia dilihat sebagai tindakan bijak.

Ada penambahan artis malah ramai menjangkakan Starship bakal meraih keuntungan besar pada masa akan datang.

Artis naungan Starship termasuk Cosmic Girls, Monsta X, Yoo Seung Woo, Hyorin, Soyou, K Will, Mad Clown, Brother Su, Boyfriend, WJSN, JungGiGo, Lee Kwang Soo dan Lee Dong Wook. Tidak ketinggalan, Kim Bum, Kim Ji Won, Yoo Yeon Seok, Jo Yoon Hee dan SISTAR.

Pendapatan bersih agensi itu pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM8 juta.

7. Big Hit Entertainment

Big Hit terkenal dengan BTS (Bangtan Boys) yang kini diiktiraf sebagai kumpulan paling popular di Korea Selatan.

Pencapaian BTS diterima baik semua pihak malah mereka semakin popular selepas beraksi di acara American Music Awards dan diundang sebagai tetamu jemputan program The Ellen Show. Big Hit sememangnya bijak apabila hanya fokus kepada artis tertentu dan tidak kisah mengambil masa yang lama.

Kini, agensi itu dikatakan paling berpotensi untuk menandingi SM, YG, dan JYP. Selain BTS, agensi itu turut mempertaruhkan Homme.

Pendapatan bersih agensi ini pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM16 juta.

BIG Hit Entertainment
BIG Hit Entertainment

8. Pledis Entertainment

Pledis terkenal dengan kejayaan kumpulan wanita After School. Bagaimanapun, populariti After School tidak bertahan lama apabila ‘senyap’ selepas tampil dengan sebuah lagu hit berjudul Because of You.

Meskipun ada ramai peminat di China dan Jepun, sambutan peminat di Korea Selatan biasa-biasa saja. After School sepatutnya kembali aktif tahun lalu namun perkara itu tidak berlaku kerana Pledis dikatakan kekurangan dana.

Kumpulan terbarunya NU’EST juga tidak menjadi namun Orange Caramel dan UEE berjaya. EVENTEEN menjadi titik kejatuhan Pledis kerana walaupun digilai ramai, agensi ini tidak mampu menampung perbelanjaan 13 anggota kumpulan itu.

Artis lain yang bernuang di bawah Pledis ialah Han Don Geun, Pledis Girlz dan Pristin.

Pendapatan bersih agensi itu pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM4 juta.

PLEDIS Entertainment
PLEDIS Entertainment

9. Woollim Entertainment

Agensi ini pernah bergabung dengan SM dengan jenama SM C&C pada 2013. Bagaimanapun, kerjasama itu berakhir apabila mereka berpecah tahun lalu.

Kini Woollim bergerak sendiri dan masih memperjuangkan dua artis utamanya iaitu INFINITE serta Lovelyz. Kembali aktif tahun lalu, INFINITE mencipta kejayaan dan menaikkan semula kedudukan agensi ini.

Bagaimanapun, masa depan Woollim kini dipersoalkan kerana tiada artis baru yang kuat untuk diperkenalkan.

Pendapatan bersih agensi itu pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM4 juta.

10. Star Empire Entertainment

Tahun lalu, agensi ini kucar-kacir apabila didakwa mengabaikan kebajikan artis.

Kekecohan itu bermula dengan anggota 9 MUSES iaitu Kyungri mendedahkan pengurusan Star Empire tidak mengenalinya meskipun sudah banyak kali cuba bertegur sapa.

Kyungri turut mendakwa majikannya pilih kasih dan hanya memberi perhatian kepada beberapa anggota lain.

Bagaimanapun, kehilangan kumpulan ZE:A menjadi kerugian besar Star Empire selepas dua anggotanya Taeheon dan Minwoo menjalani khidmat tentera. Artis naungan Star Empire termasuk 9 MUSES dan IMFACT.

Pendapatan bersih agensi itu pada 2016 dianggarkan bernilai lebih RM4 juta.

STAR Empire Entertainment
STAR Empire Entertainment

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 5:16 AM