LAGU Jagakan Dia berdasarkan kisah benar babitkan kenalan Shiha.
LAGU Jagakan Dia berdasarkan kisah benar babitkan kenalan Shiha.
HM Digital

Selepas tamat tempoh kontrak bersama pengurusan Wake The Baby, kini Shiha Zikir bergerak sendiri dan muncul dengan single terbaru berjudul Jagakan Dia.

Mempertaruhkan melodi balada, Shiha menjadi antara penyanyi yang masih berani meletakkan balada ‘grand’ sebagai genre saat penyanyi lain mengikut arus dengan muzik ala 90-an.

Lagu ciptaan komposer Ippo Hafiz ini serasi dengan vokal Shiha yang semakin matang berbanding lagu terdahulu.

Lagu terakhirnya, Seperti Novel Cinta dikenali namun tidak terlalu ‘meletup’ sehingga mencuri tumpuan. Apa yang pasti ada sedikit kelainan yang ditampilkan dalam Jagakan Dia.

Dari segi susunan muzik, memang tidak dinafikan Ippo melakukan kerjanya dengan sangat baik. Begitu juga dengan lirik yang sangat menyentuh hati.

Bercerita mengenai lirik Jagakan Dia, ada sesuatu yang Shiha ingin sampaikan kepada peminatnya.

“Ia berkisar cerita sebenar kenalan saya, dan cuba terjemahkan dalam bentuk visual menerusi lagu Jagakan Dia.

“Sedikit sebanyak, saya ingin mengangkat kisah wanita yang kematian anak dan apa yang berlaku mengganggu emosi serta mentalnya,” kata Shiha.

Video muzik Jagakan Dia yang dimuat naik ke YouTube sejak 16 Oktober lalu kini sudah mencecah jumlah tontonan 200,000.

Menampilkan pelakon Saharul Ridzwan dan dirinya sendiri sebagai teraju utama, video muzik itu juga berdasarkan kisah sebenar.

“Saya bertemu dengan kenalan saya beberapa hari sebelum penggambaran dimulakan.

“Kalau sebelum ini, video muzik lagu saya sekadar menunjukkan saya menyanyikan lagu, kali ini turut diselitkan elemen drama bagi membuatkan penonton lebih menjiwai lagu Jagakan Dia,” katanya.

INFO:

Lagu: Jagakan Dia

Penyanyi: Shiha Zikir

Komposer & penulis lirik: Ippo Hafiz

Label & edaran: LMA Talent House Sdn Bhd & SZ Entertainment

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Oktober 2017 @ 3:35 AM