Bob Yusof.
Bob Yusof.
Norhayati Nordin


PENYANYI, Bob Yusof, 36, berharap orang ramai lebih menilai bakat dimiliki seseorang penyanyi daripada melihat pakej luaran semata-mata.

Bob atau nama sebenar, Yusrizan Usop yakin nilai bakat seseorang penyanyi itu lebih bermakna.

"Bakat seni seperti menyanyi ini adalah anugerah Allah. Justeru, tolong beri peluang kepada kami yang bersandar pada bakat untuk terus berkarya.

"Saya harap bukan saja orang ramai dapat menerima karya kami tetapi pada masa sama pihak stesen radio juga dapat memberi kerjasama memutarkan lagu kami," katanya.

Dia berkata, sudah tiba masanya peminat tidak memilih penyanyi yang ada pakej luaran semata-mata tetapi menilai bakat sebenar seseorang anak seni.

Apa pun, Bob akui dia tidak kecewa tewas di pentas akhir AF Megastar Ahad lalu sebaliknya berpuas hati dengan persembahannya selama lapan minggu bertanding.

"Saya menganggap kemunculan setiap minggu membuat persembahan di pentas AF Megastar sebagai mini konsert peribadi.

"Saya harus tampil dengan persembahan yang terbaik setiap minggu untuk memberi peluang kepada penonton yang mungkin terlepas pandang pada bakat nyanyian saya selama 13 tahun lalu supaya dapat membuat penilaian semula," katanya.

Menurut anak jati Sarawak ini, pelbagai cabaran sudah dilaluinya sepanjang 13 tahun menceburi karier nyanyian selepas menyertai program Akademi Fantasia musim kedua (AF2) pada 2004.

Bob juga berterima kasih kepada peminatnya yang menerima baik single terbarunya, Terbuang Dalam Pelukan ciptaan Hafiz Hamidun dan lirik hasil tulisannya sendiri.

Menurut Bob lagi, melihat pada sokongan positif lagu itu, dia berasakan sudah membuat pemilihan single yang tepat untuk diketengahkan sebagai kemunculan terbarunya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 11:37 AM