NABIL Ahmad
NABIL Ahmad
Syanty Octavia Amry


Berhasrat membuka bengkel kelas lakonan dalam waktu terdekat, pengacara, pelakon dan pelawak popular Nabil Ahmad berasakan perkara itu perlu disebabkan kebanjiran pelakon sekarang yang dilihat lebih bersandarkan kepada paras rupa semata-mata.

Nabil berkata, idea itu timbul apabila dia melihat semakin ramai pelakon baru yang muncul tetapi lakonan tidak seberapa.

Peluang itu boleh diambil beberapa minggu sebelum pelakon terbabit hendak memulakan penggambaran.

“Ini adalah inisiatif saya dalam membantu industri hiburan. Saya melihat perkembangan seni lakonan yang terlalu ramai pelakon tetapi tidak ada asas itu.

“Bengkel ini peluang untuk mereka memperbaiki lakonan dalam waktu yang singkat. Saya faham mereka sibuk dan kadang-kadang tidak ada masa untuk mengambil kelas lakonan,” katanya.

Nabil berkata, menerusi bengkel ini mereka akan diberikan beberapa guru lakonan dan boleh memulakan latihan dalam tempoh sebulan sebelum memulakan penggambaran.

“Ada beberapa pelakon berpengalaman yang akan membantu mereka seperti Sharifah Amani, Faizal Hussein, Khir Rahman dan Que Haidar. Mereka boleh dibayar mengikut kadar yang ditetapkan.

“Saya berharap dengan adanya kelas lakonan ini dapatlah kita mewujudkan lebih ramai pelakon yang berbakat dan tidak ‘kayu’.

“Sekurang-kurangnya bengkel ini tidak mengganggu waktu mereka yang selalu sibuk tetapi boleh mendapatkan ilmu lakonan dengan lebih baik,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai pembabitannya dalam program Ceria I-Star musim kedua, Nabil gembira apabila diberi kepercayaan sekali lagi.

Kali ini selain bersama PU Yeop, Nabil turut bersama-sama Dzawin akan mengendalikan program yang membabitkan 11 peserta dari Malaysia, Indonesia dan Brunei itu.

“Alhamdulillah sekali lagi saya diberi peluang mengacarakan program ini untuk musim kedua. Selain berada di studio saya juga berpeluang ke Jakarta membuat rakaman untuk program ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Oktober 2017 @ 12:45 PM