Ayda Jebat

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Belum terlambat untuk adik ucapkan selamat Hari Kebangsaan yang ke-60 buat semua rakyat Malaysia.

Saban tahun kita menyambut 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan. Sambutan hari merdeka sebenarnya nikmat yang tidak boleh dinilai dengan apa cara sekali pun termasuk wang ringgit.

Kemerdekaan bererti kita bebas bukan setakat daripada cengkaman penjajahan, bahkan lebih jauh daripada itu.

Dalam kemajuan dunia moden tanpa sempadan, masyarakat harus ingat bahawa erti penjajahan tidak lagi terhad pada penjajahan berbentuk geografi semata-mata. Malah kita seharusnya bebas daripada penjajahan menerusi pelbagai gejala negatif yang berlaku di negara ini.

Tanpa kita sedar, pelbagai kes jenayah mulai timbul di negara ini yang boleh membawa ke arah kehancuran kepada masyarakat dan bangsa. Hampir setiap hari, ada saja kes membabitkan pembunuhan, buli, perkosa, kecurian dan berunsur negatif dilaporkan berlaku.

Seiring usia 60 tahun kemerdekaan negara, sepatutnya rakyat Malaysia semakin matang dan waras. Marilah kita tunjukkan rasa sayangkan negara dan sentiasa hargai setiap peluang yang diberikan.

Ikutkan sudah banyak kejayaan dan kemajuan yang dicapai, namun adik kesal apabila masih wujud gejala negatif yang tidak sepatutnya berlaku di negara ini. Justeru, adik menyeru semoga kerajaan mengambil tindakan tegas kepada pelaku yang melakukan kesalahan itu.

Pada masa sama marilah kita doakan semoga tanah air yang dicintai ini bebas daripada sebarang jenayah yang akan menjejaskan imej negara.

Sebagai rakyat Malaysia, yang pasti kita seharusnya menunjukkan rasa syukur dengan kurniaan Allah SWT ke atas negara ini.

Antaranya, kita dianugerahkan negara yang bebas, berdaulat, aman, makmur dan sejahtera. Mahukah kita menjadi rakyat dalam negara yang dipenuhi peluru dan bom? Yang tidak selamat dan aman?

Dalam pada itu, adik juga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat hari raya Aidiladha kepada umat Islam di seluruh negara. Moga perayaan ini disambut dalam kesederhanaan tetapi meriah dengan penuh rasa kesyukuran serta semangat pengorbanan.

Adik tahu, kalau setiap kali sambutan Aidiladha pasti ramai yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

Namun, untuk tahun ini adik beruntung kerana keluarga dari Melaka sanggup datang ke Kuala Lumpur beraya di rumah adik. Beraya di Kuala Lumpur pun bagi adik tak mengapa asalkan ada keluarga di sisi. Ia sudah amat menggembirakan adik.

Berpeluang meraikan Aidiladha bersama keluarga adalah memori yang paling membahagiakan kerana adik dapat meluangkan masa bersama mereka.

Apatah lagi, terus terang jadual adik sangat padat dengan sesi penggambaran. Namun, adik bersyukur keluarga memahami dengan tuntutan kerja itu.

Bagi adik, tiada masa yang lebih berharga selain dapat dimanfaatkan bersama mereka. Walaupun adik banyak berkorban untuk keluarga, adik tidak menganggap ia sebagai pengorbanan.

Bagi adik, itu hanya sebahagian daripada tanggungjawab seorang anak dan kakak untuk ibu bapa, keluarga dan adik-beradik terutama memastikan keperluan mereka dijaga.

Akhir kata, selamat hari raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam dan tahniah kepada kontinjen Malaysia dalam persaingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Takhta pungutan pingat terbanyak dan menduduki carta nombor satu kali ini sangat membanggakan. Malaysia Hebat!

#MalaysiaNegaraku

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 1:15 AM