Sebelum ini kecoh dalam kalangan peminat drama tempatan pasal siapakah pelakon yang akan memegang watak dalam drama adaptasi popular Korea, Coffee Prince.

Antara yang disebut-sebut adalah Fattah Amin bakal membawa watak ala Choi Han Kyul dan Janna Nick pula watak ala Go Eun Chan.

Tapi siapa tiga lagi lelaki yang bakal membawa watak pembantu dalam drama arahan Michael Ang itu?

Walaupun belum diumumkan secara terbuka, teman Cik Pang sudah pun memberi bayangan senarai tiga pelakon itu. Mereka yang dimaksudkan ialah Sean Lee Jia Ern, Faezz Azemi dan Shafiq Khan.

Sean Lee ialah pelakon remaja yang pernah membintangi beberapa drama dan telefilem seperti drama bersiri Keluarga Pontimau yang pernah disiarkan TV3 suatu ketika dulu.

Faezz Azemi pula pernah muncul dalam drama Abang Bomba I Love You tahun lalu, manakala Shafiq Khan pula dikenali melalui beberapa video parodi yang pernah tular dalam laman sosial.

Kata teman Cik Pang, walaupun mereka bertiga belum dikenali ramai dan baru bertatih dalam industri hiburan tempatan, bakat lakonan mereka sudah lama dihidu Michael Ang.

Cik Pang pun tidak mahulah terburu-buru tapi berharap peminat drama terutama Coffee Prince edisi Korea sebelum ini dapat memberi peluang kepada mereka.

Manalah tahu melalui bakat lakonan dimiliki, mereka mampu membawa pembaharuan dalam drama tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Ogos 2017 @ 4:37 AM