T.O.P tiba di mahkamah. FOTO Reuters
T.O.P tiba di mahkamah. FOTO Reuters
AFP

BINTANG pop Korea Selatan, T.O.P dikenakan hukuman penjara 10 bulan atas kesalahan menghisap ganja, semalam; bagaimanapun, mahkamah membenarkan hukuman itu ditangguhkan.

T.O.P atau nama sebenarnya, Choi Seung-Hyun, 29, didapati bersalah selepas mengaku menghisap ganja sebanyak empat kali di rumahnya di Seoul pada Oktober tahun lalu.

Menurut agensi berita Yonhap, hakim berkata, jenayah berkaitan dadah memerlukan hukuman tegar kerana mempunyai "kesan negatif" terhadap masyarakat namun dia mengambil kira kekesalan penyanyi itu terhadap kelakuannya.

Ahli kumpulan Big Bang itu turut meminta maaf kepada peminatnya serta berkata dia “sangat menyesal menyebabkan masalah” ketika tiba di mahkamah.

Kesalahan menghisap ganja boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda 50 juta won (RM191,315).

T.O.P yang kini menjalankan perkhidmatan tentera wajib sebagai anggota polis sejak Februari lalu bakal berhadapan tindakan disiplin sama ada boleh menyambung semula tugasan atau dilucut jawatan.

Big Bang antara kumpulan pop paling popular Korea selatan dengan lebih 140 juta jualan rekod seluruh dunia sejak diperkenalkan pada 2006.

T.O.P turut terkenal sebagai pelakon dengan kemenangan beberapa anugerah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2017 @ 7:59 AM