Fattah tdak tahu. FOTO fail HM
Fattah tdak tahu. FOTO fail HM
Norhadiani Baharom & Sudirman Mohd Tahir


PELAKON popular Fattah Amin mendakwa tidak tahu-menahu mengenai petisyen bantahan yang diwujudkan peminat pelakon Korea Selatan, Gong Yoo di Malaysia terhadap syarikat produksi Cube Film Sdn Bhd bagi mengambilnya sebagai watak hero menerusi drama 'remake' Coffee Prince versi Melayu, Sabtu lalu.

Fattah ketika dihubungi berkata, dia hanya mengetahui perkara itu semalam selepas pulang menjalani rakaman program TV di Hutan Belum, Perak.

“Saya tidak tahu hujung pangkal pun. Tiada liputan telefon di sana dan saya ‘terputus’ hubungan dengan dunia luar.

“Sebaik pulang dari Hutan Belum, saya dimaklumkan bahawa pemilihan saya sebagai hero drama versi Bahasa Malaysia arahan Michael Ang mendapat bantahan pengikut setia drama asalnya,” katanya ketika ditemui di Sepang, hari ini.

Petisyen itu dibuat menerusi laman web Gopetition antara lain menyebut pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu tidak layak memegang watak utama yang dilakonkan pelakon asalnya, Gong Yoo.

Fattah berkata, dia akan bertemu dengan penerbit dan pengarah drama itu malam ini bagi membincangkan perkara itu.

Menurutnya, belum ada sebarang pengesahan hitam putih mengenai pembabitannya dalam drama itu.

Menurut Fattah, sebelum ini Michael pernah bertemu dengannya sebelum ini dan menawarkan dia berlakon watak utama dalam drama itu tetapi belum membuat sebarang kata putus.

“Tak dinafikan saya sangat selesa bekerja dengan Michael yang banyak membantu menaikkan nama saya. Namun, tidak sangka pula selepas membintangi beberapa drama arahan Michael, baru kali ini isu seperti ini berbangkit.

“Saya serahkan kepada pihak produser dan pengarah untuk membuat keputusan. Jika mereka merasakan saya layak memegang watak utama dan tidak hirau dengan bantahan serta kritikan peminat drama Coffee Prince, saya seperti biasa akan menggalas tugas yang diberikan sebaik mungkin,” katanya.

Dalam pada itu, walaupun belum mengesahkan dia akan berlakon dalam drama ini, Fattah menerusi video yang dimuat naik di Instagram Stories hari ini memberi bayangan bakal terbabit dalam drama itu menerusi perbualan dengan pelakon Janna Nick yang juga pelakon drama itu.

Dalam video terbabit Fattah bertanya kepada Janna adalah dia akan berlakon dalam drama Coffee Prince.

Janna kemudian menjawab dan meminta Fattah menerima saja tawaran itu dan jangan ‘mengada-ngada’.

Sementara itu, sumber yang rapat dengan produksi drama berkenaan mengesahkan Fattah akan berlakon dalam drama itu membawa watak Choi Han-Gyul yang dilakonkan Gong Yoo dalam versi asalnya.

Drama ‘remake’ itu turut menampilkan Janna yang melakonkan watak Ko Eun-Chan.

Coffee Prince mula ditayangkan pada 2007 menjadi antara drama Korea Selatan popular di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2017 @ 8:39 PM