Nabil dapat panggilan daripada murid sekolah. FOTO HM/ NURUL SHAFINA JEMENON
Nabil dapat panggilan daripada murid sekolah. FOTO HM/ NURUL SHAFINA JEMENON
Syanty Octavia Amry


PELAKON dan pelawak, Nabil Ahmad terpaksa menukar nombor telefon bimbitnya berikutan sering menerima panggilan dan gangguan daripada individu tidak dikenali termasuk murid sekolah.

Nabil berkata, dia dimaklumkan nombor telefonnya turut dimasukkan dalam kumpulan aplikasi WhatsApp ‘Group UPSR’ hingga kerap mendapat panggilan telefon daripada murid sekolah.

"Saya mula syak ada yang menyebarkan nombor telefon apabila kerap mendapat panggilan daripada nombor yang tidak dikenali.

"Kebanyakan mereka pula adalah murid sekolah," katanya.

Nabil berkata, berikutan tidak selesa dengan situasi itu dia terpaksa akur untuk menukar kepada nombor yang baru.

"Sudah lama saya memakai nombor itu, malah semua orang yang berurusan dengan saya tahu akan nombor itu.

“Mahu tidak mahu saya terpaksa juga tukar kerana mereka suka telefon tidak kira masa termasuklah tengah malam,” katanya.

Nabil berkata, selain dirinya, pelakon Lisa Surihani turut menerima nasib yang sama apabila nombor telefonnya turut dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp yang sama.

"Saya tidak tahu siapa yang menyebarkan nombor telefon saya. Apa yang mereka lakukan sangat menyusahkan saya.

"Selepas menukar nombor telefon, saya terpaksa menghubungi semua rakan perniagaan dan kerja untuk memaklumkan mengenai nombor baru saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Mei 2017 @ 5:25 PM