ADI 6ixth Sense
ADI 6ixth Sense
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI kumpulan 6ixth Sense, Adi berhasrat untuk memohon taraf sebagai penduduk tetap (PR) selepas hampir 12 tahun menetap di negara ini.

Adi, 34, atau nama sebenarnya Adi Priyo Sambodo yang berasal dari Jember, Indonesia berkata, perkahwinannya dengan Natasyah Annes Ahmad, 23, pada Disember 2015 juga mendorong dirinya untuk membuat keputusan ini.

"Saya memang sudah lama merancang perkara ini tapi sering tertangguh kerana pelbagai masalah teknikal termasuk prosedur yang perlu dilalui.

"Selain itu, kesibukan dengan aktiviti seni juga membuatkan saya mengabaikan perkara ini," katanya kepada Harian Metro.

Natasyah yang juga pencipta lagu Lelaki Teragung nyanyian Dayang Nurfaizah kini sedang hamil lapan bulan dan dijangka melahirkan anak sulung mereka tidak lama lagi.

Adi berkata, sebaik anak mereka lahir, dia akan segera mengemukakan permohonan bagi memenuhi impian yang sudah lama tertangguh itu.

"Saya juga tak sabar menanti kelahiran anak sulung. Doktor mengesahkan jantinanya seorang lelaki. Jika lahir pada bulan Ramadan, saya akan menamakannya Ramadan dan jika pada bulan Syawal, saya pasti memilih nama Syawal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 7:55 PM