PERSEMBAHAN yang sangat bertenaga dan bagus.
PERSEMBAHAN yang sangat bertenaga dan bagus.
PEMINAT terhibur dengan persembahan Clean Bandit.
PEMINAT terhibur dengan persembahan Clean Bandit.
Georgie Joseph


Clean Bandit bukanlah satu nama yang akan menjadi perbualan ramai, tetapi apabila bercerita mengenai muziknya, serta-merta ia menarik perhatian pendengar muzik.

Dianggotai Grace Chatto, Jack Patterson dan Luke Patterson, band yang ditubuhkan pada 2015 itu semakin dikenali ramai sejak lagu Rather Be hinggalah Symphony popular.

Apatah lagi muzik band itu menampilkan keunikan dengan paduan instrumen seperti biola dan bunyi elektronik muzik, Clean Bandit terbukti sangat relevan dengan pasaran dan pada masa sama berbakat besar.

Berkunjung ke Kuala Lumpur baru-baru ini, ramai mahu melihat sendiri bagaimana aksi band itu secara langsung di pentas. Mana tidaknya, kalau di radio mereka ternyata sangat hebat.

Ternyata, band itu benar-benar ‘buas’ di pentas. Tampil sebagai satu daripada artis utama sempena festival hiburan Urbanscapes 2017, konsert mereka paling dinantikan ramai.

Apa yang pasti, ia sangat berbaloi meskipun band terbabit tidak mengadakan konsert besar-besaran. Lebih 1,500 yang hadir begitu terhibur dengan kelincahan mereka.

Bukan tampil bertiga, Clean Bandit sebaliknya membuat percaturan bijak dengan menampilkan tiga vokalis tambahan wanita yang sangat hebat.

Tidak hairanlah band ini mendapat pujian seluruh dunia. Aura yang ditampilkan di pentas memang sangat mengagumkan, selain bakat muzikal mereka ternyata hebat serta bertenaga.

Paling penting, elemen vokal masih jadi perkara utama dalam persembahan mereka. Ia terserlah pada tiga vokalis jemputan selain Grace yang begitu bertenaga serta harmoni vokalnya menerusi setiap lagu.

Jika ada satu kritikan mengenai persembahan mereka, band ini perlu berada di pentas yang lebih besar. Mungkin perlukan gimik atau drama bagi menjadikan ia lebih gah.

Bukan menafikan kehebatan Clean Bandit, namun band terbabit sangat layak dibariskan dengan band tersohor lain. Interpretasi muzik mereka jelas sangat indah dan bukan sekadar menampilkan melodi sedap semata-mata.

Begitu juga dengan penonton malam itu, mereka seakan-akan khayal dibuai persembahan mengagumkan. Bukan sekadar menari, mereka turut menyanyi dengan sepenuh hati beberapa lagu band itu.

Apa yang pasti, kehadiran serta sokongan diterima pada malam itu begitu menyentuh hati Clean Bandit. Bahkan, mereka seperti sudah biasa datang ke sini.

Menurut Grace, tiada lain yang mereka mampu ucapkan selain terima kasih tidak terhingga.

“Ini kali pertama kami di sini, tetapi sudah rasa seperti rumah sendiri. Kami sangat terharu melihat kamu semua dan sebolehnya tidak mahu malam ini berakhir,” katanya.

Pada malam itu, Clean Bandit mempersembahkan Stronger, You Sure Do, Cologne, Symphony, Extraordinary, Heart On Fire, Birch, Come Over, Rockabye, Telephone Banking, Should’ve Known Better, Piece Of You, Real Love, Tears, dan Rather Be.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Mei 2017 @ 3:04 PM