NABIL dan Sarah.
NABIL dan Sarah.
Rudy Imran Shamsudin


Hubungan cinta di antara pengacara TV, Nabil Mahir dan pelakon dan juga model, Sarah Hildebrand, bukan lagi rahsia dan ia terjalin hampir tiga tahun.

Ditemui baru-baru ini, Nabil atau Ahmad Nabil Ahmad Mahir mengakui mereka berdua belum punya perancangan untuk bernikah dalam masa terdekat.

Katanya, sepanjang tempoh tiga tahun saling mengenali dia berasakan mereka kini masuk ke fasa selesa sepanjang bercinta dan seharusnya pernikahan adalah matlamat kepada hubungan yang terjalin.

“Buat masa ini memang tiada perancangan serius dibuat memandangkan antara saya dan Sarah masih lagi berusaha untuk membina kerjaya dalam bidang seni.

“Bagaimanapun, kalau cakap-cakap untuk bernikah dan mendirikan rumah tangga dengannya sudah tentu ada. Malah keluarga kami juga tahu perkara ini,” katanya.

Pengacara program Pop TV siaran TV9 itu mengakui keluarga mereka menyambut baik hubungan itu cuma kesibukan dengan kerjaya seni membuatkan dia dan Sarah belum lagi berpeluang untuk menetapkan tarikh.

“Saya memang bersedia untuk memikul tanggungjawab dan bergelar suami, begitu juga Sarah. Memang perkara ini menjadi agenda dalam hubungan kami cuma sekarang kami berusaha untuk mengukuhkan kedudukan dalam kerjaya.

“Jadual Sarah sendiri padat hingga akhir tahun apabila dia kini dilamar menjadi wajah kepada produk kecantikan Sari Balqis yang baru,” katanya.

Nabil juga akui dia tidak pernah menghalang kekasih hati untuk mengejar impian dan cita-citanya. Baginya, bernikah bukan satu masalah tetapi mereka berdua harus juga memikirkan kehidupan yang perlu dibina selepas berkahwin nanti terutama untuk membina keluarga.

“Keluarga kami juga tidak pernah memberi tekanan agar kami cepat-cepat bernikah kerana faham akan apa yang saya dan Sarah usahakan sekarang.

“Bagaimanapun kalau sudah tertulis kami bernikah dalam waktu terdekat, saya terima saja tetapi saya dan Sarah mahu pastikan kerjaya kami stabil terlebih dulu,” katanya.

Dalam berseloroh, Nabil berkata kalau orang keliling mahu melihat dirinya bernikah cepat dengan Sarah, boleh tawarkan kerja kepadanya sebanyak mungkin.

Mengendalikan program hiburan yang banyak bercerita mengenai perihal kehidupan kerjaya dan peribadi artis lain, Nabil akui kisah cintanya bersama Sarah turut menjadi perhatian.

Katanya, selepas umum tahu mengenai kisah cinta mereka, sekarang orang keliling sibuk bertanya bila mahu bernikah.

Nabil akui tidak timbul rasa kurang selesa dengan situasi itu kerana cukup memahami akan situasi itu dan sentiasa bersifat terbuka.

“Saya mengambil pendekatan terbuka dengan memberitahu umum apabila ditanya mengenai hubungan kami. Saya mengaku kami bercinta apabila ada yang bertanya.

“Waktu sama, mereka yang mengenali saya tahu yang saya sentiasa bersikap telus mengenai siapa diri saya dengan orang keliling.

“Cuma ada perkara yang saya berasakan jawapan membabitkan hubungan saya dengan Sarah terutama soal pernikahan ini agak klise. Tapi hendak buat macam mana, memang begitulah situasi kami ketika ini,” katanya.

Memulakan kerjaya pengacaraan di program infotainment Hlive di Astro Ria, Nabil semakin yakin hubungannya dengan Sarah selepas tiga tahun bercinta.

Katanya, soal bimbang kehilangan wanita dicintai itu tidak pernah timbul tetapi akui pada awal perkenalan memang ada perasaan itu.

“Dalam situasi sekarang, banyak kita dengar pelakon lelaki dan wanita yang dipasangkan dalam drama akan terbawa-bawa ke luar. Tambah pula saya pernah melalui situasi itu dan tentunya rasa takut sekiranya berdepan masalah sama.

“Bagaimanapun selepas tiga tahun, saya sangat yakin dengan Sarah. Malah saya percaya kedua-dua belah pihak sangat serius dengan perhubungan ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 1:06 AM