ELLE dikagumi pelakon senior Hollywood.
ELLE dikagumi pelakon senior Hollywood.
Georgie Joseph

Kelembutan pada keperibadian pelakon semakin meningkat Elle Fanning membuatkan sejuk mata memandang. Baik lakonan mahupun di luar, dia sangat manis.

Mungkin itu juga menyebabkan pengarah, Sofia Coppola berikan cabaran baru kepadanya dalam filem The Beguiled. Lari daripada kebiasaan, pelakon berusia 19 tahun itu diminta lakonkan karakter yang bakal dibenci ramai.

Filem berkenaan yang menampilkan genre drama ‘thriller’ dibuat semula daripada filem berjudul sama pada 1971 dibintangi Clint Eastwood.

Menerusi filem terbarunya itu, Elle akan melakonkan watak Alicia iaitu pelajar penggoda dan dia turut bergandingan dengan pelakon hebat termasuk Colin Farrell, Nicole Kidman serta Kristen Dunst.

Menurut Sofia, dia teruja dengan watak berbeza Elle kali ini dan gembira memutuskan untuk memberi watak Alicia kepadanya.

“Elle sangat manis dan masih kebudakan. Untuk melakonkan watak jahat, memberontak dan nakal adalah sangat bertentangan dengan personaliti sebenarnya.

“Saya rasa cabaran itu sangat menyeronokkan buatnya,” kata pengarah berkenaan.

Bahkan, Elle sendiri mengakui keterujaan Sofia itu terhadapnya.

“Sofia sangat teruja mahu jadikan saya perempuan jahat,” katanya.

Yang pasti, aktor hebat Colin juga tidak menyangka bakat Elle sangat luar biasa. Menurutnya, dia benar-benar kagum dengan kemampuan adik aktres Dakota Fanning itu.

“Saya tidak pasti jika pernah berlakon dengan aktres yang sepertinya menggunakan naluri hati paling dalam seperti Elle,” katanya.

The Beguiled memasuki panggung bermula 29 Jun ini dan dipertontonkan di Filem Festival Cannes pada 17 Mei ini.

Ia juga kolaborasi kali kedua Elle dan Sofia bersama selepas kali pertama dipertemukan pada 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 3:20 AM