GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Satu tinjauan kepada pekerja di pelbagai bahagian dalam sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mendapati kebanyakannya lebih gemar model bekerja secara hibrid ketika pasca pandemik, iaitu kombinasi antara bekerja dari rumah (BDR) dan hadir secara fizikal di pejabat.

Sebanyak 80 peratus responden dalam tinjauan itu memilih BDR selama tiga daripada lima hari bekerja pada setiap minggu, demikian menurut Ketua Pemasaran GKK Consultants Santosh Thayaparan dalam kenyataan hari ini.

Mereka mendapati BDR adalah lebih fleksibel dan menjimatkan kos dari segi masa perjalanan dan perbelanjaan makanan, katanya.

Mereka dapat memberi tumpuan untuk menyiapkan tugasan utama, manakala urusan komunikasi dan kerjasama boleh dilakukan semasa berada di pejabat.

Bagaimanapun, 20 peratus daripadanya mengakui sukar untuk memberi tumpuan dan kekal cergas semasa waktu bekerja berikutan tahap keselesaan di rumah.

Pendek kata, mereka boleh menikmati yang terbaik dalam kedua-dua suasana, sekali gus bererti model bekerja secara hibrid tentunya adalah pilihan yang tepat selepas pandemik Covid-19, katanya berdasarkan data terkini tinjauan kepada PKS dan pelbagai bahagian berbeza meliputi pelanggan GKK Consultants dan syarikat-syarikat berkaitan.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat kekangan dalam aspek kerjasama pasukan dan komunikasi secara fizikal akibat platform maya seperti Zoom dan WhatsApp.

Sebahagian daripada responden dalam kajian itu turut berkongsi bahawa mereka berdepan dengan situasi yang tidak jelas di antara bekerja dengan keseimbangan hidup. Kebanyakannya memberitahu bekerja dari pejabat membolehkan mereka tidak dibelenggu semua perkara berkaitan kerja selepas keluar dari pejabat.

Bagaimanapun, beliau berkata antara kelemahan bekerja di rumah adalah kecenderungan untuk mengadakan mesyuarat melebihi masa sewajarnya, di samping sukar untuk mengingatkan pengurusan kanan agar mengakhiri mesyuarat.

Ketua Pegawai Eksekutif GKK Consultants, Gajendra Balasingham berkata ramai pelanggan dan rakannya dalam pengurusan kanan keliru sama ada untuk meminta semua pekerja kembali ke pejabat atau membuat aturan dan memantau tugasan secara mengikut giliran.

Beliau berkata dengan pemulihan di seluruh negara, persoalan yang dihadapi pengurusan kanan adalah sama ada untuk kembali kepada rutin bekerja di pejabat seperti sebelum Covid-19 atau memilih normal baharu minggu bekerja hibrid.

Ini merupakan satu keputusan yang tidak akan dibuat secara tergesa-gesa oleh ramai perunding sumber manusia kerana pandemik Covid-19 masih berlegar dalam komuniti dan belum mampu dilenyapkan, kata Gajendra.

Kerisauan mereka adalah wajar memandangkan kebimbangan global terhadap penyebaran varian baharu yang membimbangkan seperti virus Delta dan Omicron yang telah dikesan di beberapa negara Afrika.

Beliau berkata pekerja telah menikmati pelbagai faedah BDR walaupun ia adalah keputusan yang terpaksa dilakukan semasa permulaan kawalan pergerakan.

Ketika ini, persekitaran kerja di Malaysia terperangkap dalam keputusan penting ini kerana pilihan itu mungkin menjejaskan komitmen pekerja, interaksi, produktiviti, ketepatan masa, usaha berpasukan dan kewangan.

Pengasingan pekerja ini mungkin berkesan untuk satu tempoh tertentu tetapi ia akan melahirkan impak negatif ke atas margin fizikal, emosi dan sosial untuk jangka panjang.

"Walaupun hampir semua orang telah divaksin dengan dua dos, risiko untuk dijangkiti masih ada terutamanya dengan varian baharu yang muncul," katanya.

Organisasi multinasional tertentu seperti Apple, JP Morgan Chase & Co, Goldman Sachs dan Barclays telah menegaskan bahawa bekerja secara jarak jauh tidak boleh dikekalkan.

Ia juga tidak sihat untuk budaya kerja, pemikiran kritis yang spontan dan menjejaskan mereka yang suka dan sentiasa ke hadapan dalam persekitaran kerja yang pantas.

Sementara itu, organisasi seperti Twitter, Atlassian, Dropbox dan Spotify adalah antara yang menerima pendekatan bekerja secara jarak jauh ini dengan alasan peningkatan produktiviti terbukti apabila mereka mengubah fokus mereka ke arah langkah berorientasikan hasil dan bukannya waktu bekerja.

Santosh berkata sama ada produktiviti akan berkembang pesat atau musnah adalah bergantung kepada banyak faktor lain seperti struktur organisasi dan model pengurusan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Disember 2021 @ 4:53 PM