GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sarawak mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menterinya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, adalah penting bagi peniaga mendaftarkan perniagaan di bawah agensi itu bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan dan insentif yang disediakan kerajaan pusat.

"Saya memahami dan mendengar keluhan sesetengah kelompok peniaga di negeri ini yang mengutarakan keresahan mereka kerana tidak dapat menikmati manfaat serta insentif untuk golongan peniaga yang disediakan kerajaan pusat.

"Apabila kita teliti isu ini dengan lebih mendalam, kita dapati ia berpunca daripada kegagalan mereka mendaftarkan perniagaan dengan SSM menyebabkan ada komuniti peniaga tercicir daripada inisiatif ini yang dilaksanakan secara automatik berdasarkan pangkalan data perniagaan SSM," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nanta berkata jika perniagaan PKS itu melibatkan mereka yang tergolong dalam B40 dan M40 maka bantuan akan lebih mudah disalurkan terus kepada mereka yang layak kerana ia berdasarkan kepada pangkalan data perniagaan yang telah didaftarkan.

Sementara itu menurut kenyataan berkenaan, semalam buat julung kalinya KPDNHEP menganjurkan Karnival Advokasi Kepenggunaan Belia, yang dirasmikan Nanta di Kapit di bahagian tengah Sarawak.

Karnival yang berlangsung selama dua hari itu dipenuhi dengan pelbagai program menarik seperti ceramah hak-hak pengguna, pertandingan e-sukan Mobile Legends dan ip-explorace.

Selain memberi pendedahan kepada golongan belia mengenai informasi kepenggunaan dan perniagaan, KPDNHEP turut menyampaikan bantuan Tanggungwab Sosial Korporat (CSR) daripada SSM berjumlah RM130,000 kepada penerima yang layak di Kapit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 1:16 PM