GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Syarikat Malaysia, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) seharusnya menilai kemahiran dan komposisi kepakaran pada masa kini bagi meneroka sepenuhnya kesan perubahan iklim kepada organisasi yang berkaitan strategi, operasi dan reputasi mereka.

Menurut Institut Akauntan Bertauliah England dan Wales (ICAEW), PKS yang merupakan tulang belakang kepada ekonomi Malaysia perlu mempunyai cara pemikiran yang berbeza atau berhadapan dengan risiko ketinggalan di belakang.

"Walaupun perbualan pada masa ini lebih kepada misi dan sifar bersih, peringkat seterusnya adalah mengenai keseimbangan iklim dan peringkat selepas itu mungkin mengenai sumbangan dan penambahbaikan yang positif," katanya dalam satu kenyataan.

Badan profesional global untuk akauntan bertauliah itu berkata pasukan kewangan juga penting dalam membantu memacu kemajuan dengan mengubah cara perniagaan melihat dan berinteraksi dengan persekitaran mereka.

Ia berkata pasukan kewangan memerlukan visi yang jelas mengenai kesan jangka pendek, sederhana dan panjang perubahan iklim untuk mewujudkan perubahan persekitaran perniagaan.

Selain itu, ia berkata pandemik COVID-19 yang telah menyebabkan perubahan iklim di peringkat organisasi, nasional dan global, perniagaan perlu memikirkan isu-isu yang lebih meluas yang dihadapi dunia pada masa kini.

"Untuk mempertahankan perniagaan dan ekonomi pada masa depan, kesihatan, kelestarian dan dasar alam sekitar mesti dilihat bukan sekadar topik yang berkaitan tetapi faktor yang sangat saling berkait.

"Walaupun pada masa ini tidak ada piawaian pelaporan global yang wajib untuk risiko iklim, perniagaan perlu progresif dalam mengambil tindakan iklim yang positif sebelum peraturan menjadikannya wajib," katanya.

Ketua ICAEW Malaysia Loh Wei Yuen berkata bagi menyokong agenda penting itu, Komuniti Kemampanan dan Perubahan Iklim ICAEW membenarkan sesiapa sahaja mengakses sumbernya yang membolehkan semua syarikat lebih berdaya tahan dan menangani isu-isu yang menjadi nadi semua jenis perniagaan.

– BERNAMA

TAG: ICAEW, PKS, perubahan iklim, sifar bersih, Loh Wei Yuen, strategi, operasi, reputasi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 5:39 PM