KHAIRUL (kiri) ketika ditemui di Plaza Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi. FOTO NSTP/AMIRUDIN SAHIB
KHAIRUL (kiri) ketika ditemui di Plaza Bangi Perdana, Bandar Baru Bangi. FOTO NSTP/AMIRUDIN SAHIB
Oleh Sri Ayu Kartika Amri


Bangi: Pharma Cap Group Sdn Bhd komited membantu pemain farmasi tempatan dengan memperkenalkan aplikasi, MyFarmasi dan menyasarkan sejuta pengguna akan memuat turunnya menjelang 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasasnya, Khairul Annuar berkata sebagai syarikat pertama memperkenalkan aplikasi penghantaran ini, pihaknya yakin MyFarmasi mampu memudahkan pengguna mendapatkan produk perubatan mereka dengan mudah serta melalui garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, pengguna juga lebih senang untuk mendapatkan maklumat farmasi berdekatan dengan mereka dan melakukan transaksi pembayaran secara dalam talian.

"Melalui aplikasi ini, terdapat 200 farmasi komuniti bebas dan persendirian yang berdaftar dan kami menyasarkan 1,000 farmasi seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak, akan mendaftar di MyFarmasi.

"Hari ini sempena Hari Farmasi Sedunia, kami turut melancarkan MyFarmasi untuk segmen pengguna yang sudah boleh dimuat turun menerusi Playstore dan iOS," katanya kepada Bisnes Metro.

MyFarmasi ditubuhkan sejak tahun lalu membabitkan 10 pengasas bersama yang terdiri daripada ahli farmasi komuniti.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologinya, Rahman Baco berkata, unjuran pasaran farmasi secara runcit di Malaysia bernilai RM5 bilion dan untuk tahun pertama MyFarmasi pihaknya optimis mencapai transaksi bernilai RM10 juta.

Menurutnya, syarikat melaburkan kira-kira RM200,000 bagi membangunkan aplikasi dan akan datang MyFarmasi juga akan mengintegrasikan kemudahan ubatan yang memerlukan preskripsi.

Beliau berkata, kelebihan MyFarmasi selain membantu meningkatkan jualan farmasi tempatan, pengguna boleh mencari lokasi farmasi berdekatan mereka dan berhubung secara langsung dengan ahli farmasi bagi mendapatkan nasihat.

"Caj penghantaran pula berpatutan iaitu antara RM2 hingga RM5, pendaftaran MyFarmasi percuma dan untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari www.farmasi.com.my," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 8:41 AM