GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan beberapa inisiatif e-dagang, ekonomi gig, pembangunan bakat dan pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk memperkasa dan menampung kumpulan sasaran menerusi transformasi digital dalam norma baharu.

Pengarah Penerimagunaan Digital Perniagaan MDEC, Muhundhan Kamarapullai berkata, agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu mempromosikan pendigitalan kepada PKS sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"Kami mempunyai inisiatif seperti 100 Go Digital yang mana kami mendidik ekosistem mengenai maklumat pendigitalan terkini berikutan kami terus memperkasa perniagaan secara digital.

"Baru-baru ini kami mengumumkan Geran Automasi #SMART bagi industri perkhidmatan sebagai sebahagian daripada inisiatif kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk menyokong PKS melakukan lonjakan digital dalam norma baharu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan bersempena webinar bertajuk "Bolehkah Pendigitalan Menyelamatkan Perniagaan Anda?" hari ini.

Beliau berkata usaha MDEC diperlukan berikutan banyak PKS melihat kepada platform digital untuk menangani cabaran yang mungkin memberi impak negatif kepada operasi dan penjanaan pendapatan mereka.

Agensi itu sedia maklum bahawa Kementerian Kewangan menganggarkan kira-kira dua juta pekerjaan atau hampir lapan peratus daripada tenaga kerja berada dalam risiko menjelang akhir 2020. Angka itu menunjukkan ekonomi Malaysia terjejas teruk akibat kesan selepas PKP.

Jabatan Perangkaan pula melaporkan 53.4 peratus perniagaan hanya akan mampu bertahan untuk tempoh satu atau dua bulan sekiranya mereka memilih untuk membayar gaji kakitangan di mana-mana sahaja, daripada separuh kepada gaji penuh.

Bagi menangani isu ini, PENJANA memberikan harapan menerusi pelbagai peruntukan bernilai RM35 bilion untuk merangsang ekonomi.

Ketua Teknologi Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC), Dr Chua Wen-Shyan yang turut serta dalam sesi webinar itu berkata fokus utama adalah untuk membangunkan rakyat.

"Manusia atau tenaga kerja adalah aset terpenting dalam syarikat anda. Motivasikan mereka, tingkatkan kemahiran mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk mempromosi inovasi dan pembangunan dalam syarikat untuk mencapai transformasi digital yang mampan.

"Apa yang kami lakukan di SHRDC adalah mereka bentuk program berimpak tinggi yang relevan kepada industri berbeza. Setiap syarikat mungkin memerlukan halatuju pendigitalan yang unik," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Teknologi dan pengasas bersama Plus Solar Systems Sdn Bhd, Ryan Oh berkata galakan kepada pendigitalan mendorong syarikat untuk membangunkan penyelesaian tenaga pintar bagi membantu perniagaan mencatatkan keuntungan dan mengubah perniagaan kepada kepintaran yang lebih bernilai dan boleh diterjemahkan kepada keputusan perniagaan lebih baik.

"Ini terbukti menunjukkan banyak perniagaan melihat kepada pelbagai kaedah untuk mengurangkan keuntungan dengan penggunaan tenaga menjadi antara satu kebimbangan utama," katanya.

  • Lagi berita PKS
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2020 @ 5:56 PM