GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Syarifah Dayana Syed Bakri


KERAJAAN menggalakkan individu yang terbabit dalam sektor ekonomi gig untuk mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah program Penjana Gig memandangkan bayaran ditanggung kerajaan dan penyedia platform.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan memperkenalkan Penjana Gig bagi memastikan golongan ini dapat bekerja dalam jaringan keselamatan sosial.

"Kalau tuan-tuan dan puan-puan menaiki Grab atau membuat tempahan makanan dengan FoodPanda, tanyakanlah pekerja gig itu 'Dah mencarum dengan Perkeso ke belum?' Kalau dah, beri mereka rating lima bintang," katanya.

Ini kerana katanya, sehingga kini jumlah mereka yang bekerja dalam ekonomi gig dan mendaftar dengan Perkeso masih rendah.

"Menurut Perkeso, sejak Januari 2020 hingga kini, hanya tujuh peratus atau 28,425 pekerja ekonomi gig berdaftar dengan Perkeso daripada sasaran 400,000 pekerja," katanya dalam Laporan Laksana ke-12 Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) di laman Facebooknya, hari ini.

Menurutnya, kerajaan berharap lebih ramai pekerja akan mencarum dengan Perkeso untuk mendapat perlindungan Penjana Gig.

"Dengan bayaran sebanyak RM232.80 setahun, kerajaan membayar 70 peratus (RM163) manakala, 30 peratus (RM69.80) ditampung penyedia platform," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 2:41 PM