KELIHATAN masyarakat berbilang bangsa di Desa Mentari berganding bahu dalam menyediakan hidangan makanan.
KELIHATAN masyarakat berbilang bangsa di Desa Mentari berganding bahu dalam menyediakan hidangan makanan.
Hafiz Ithnin


"BARANG siapa yang memberi makan kepada seorang Mukmin hingga membuatnya kenyang dari rasa lapar, maka Allah akan memasukkannya ke dalam salah satu pintu syurga yang tidak dimasuki oleh orang lain," (Hadis Riwayat Thabrani).

Hadis di atas dinyatakan dengan jelas ganjaran diperoleh dan diberikan kepada Mukmin yang memberi makan kepada Mukmin lain hingga ia kenyang, tambahan pula ia diberikan kepada golongan fakir dan miskin yang amat memerlukan makanan.

Di sini terletaknya usaha dan peranan yang boleh dimainkan setiap agensi agama di negara ini dalam terus aktif mencari dan membantu mereka yang terkesan sama ada bantuan dalam pemberian makanan atau berbentuk tunai.

Perkara itu yang dilakukan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Persatuan Penduduk Petaling Jaya (MyPJ) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, di Desa Mentari, Petaling Jaya, baru-baru ini apabila terbabit dalam Program Dapur Prihatin yang memberi manfaat kepada lebih 100 keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Pemangku Ketua Pengarah YaPEIM, Parihah Hasan berkata, Program Dapur Prihatin adalah inisiatif yang diambil bagi memasak makanan sebelum diedarkan kepada golongan B40 di sekitar kawasan itu selain agihan bantuan barangan keperluan makanan yang disumbang pihak YaPEIM.

Katanya, usaha itu turut mendapat kerjasama penduduk setempat apabila ada yang sanggup bangun seawal jam 6 pagi bagi membantu dalam menyediakan makanan kepada insan yang memerlukan ini.

"Gotong-royong memotong sayur-sayuran, daging dan membungkus makanan ini turut mendapat kerjasama pelbagai kaum yang tinggal di Desa Mentari.

"Tidak ketinggalan kami turut menyumbang 50 kilogram daging segar, 20 kampit beras dan 20 botol minyak masak untuk dimasak dalam program Dapur Perpaduan sebagai usaha kolaborasi strategik menyantuni mereka yang terkesan dengan situasi semasa," katanya.

NIK Ezanee antara watak penting menjayakan program Dapur Perpaduan.
NIK Ezanee antara watak penting menjayakan program Dapur Perpaduan.

Katanya, program itu turut mendapat perhatian menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr Zulkilfli Mohamad Al-Bakri yang turut hadir menyampaikan sumbangan kepada penerima selain mendengar luahan penduduk mengenai situasi semasa.

"Usaha ini juga mempunyai objektif iaitu memberi sedikit kegembiraan seterusnya menjadi bentuk sokongan kepada mereka yang memerlukan selain mengurangkan bebanan keluarga yang mempunyai punca pendapatan atau sumber kewangan isi rumah berpendapatan rendah.

"Mungkin ia boleh diteruskan pada masa akan datang yang mana saya yakin lebih banyak kumpulan B40 dapat kita bantu kelak," katanya.

PARIHAH turut membantu menyediakan hidangan Program Dapur Perpaduan.
PARIHAH turut membantu menyediakan hidangan Program Dapur Perpaduan.

Malah dalam masa sama 100 set bank makanan barangan makanan kering seperti beras, minyak masak dan tepung gandum turut diberikan kepada mereka yang memerlukan pada program yang berlangsung pada 6 Februari lalu.

Sementara itu, Parihah berkata, sumbangan yang diagihkan pihak YaPEIM juga bertujuan memaksimumkan agihan wang sumbangan amal jariah YaPEIM yang disumbangkan orang ramai untuk digunakan sebagai manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

DR Zulkilfli menyampaikan sumbangan foodbank YaPEIM kepada keluarga B40 di Desa Mentari, Petaling Jaya.
DR Zulkilfli menyampaikan sumbangan foodbank YaPEIM kepada keluarga B40 di Desa Mentari, Petaling Jaya.

Beliau berkata, YaPEIM percaya dengan segala aktiviti amal jariah yang dilaksanakan kini ia dapat meningkatkan keyakinan masyarakat untuk menyumbang kepada YaPEIM bagi tujuan pelaksanaan program amal jariah.

Untuk rekod program Foodbank YaPEIM 2.0 antara yang aktif dalam menyantuni golongan sasar sejak 1 Januari hingga 31 Disember tahun lalu, ia memberi manfaat kepada 521,350 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM8.4 juta direkodkan membabitkan 1,423 lokasi di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Februari 2021 @ 6:45 AM