MASIH boleh bergembira dengan acara sukaneka dalam jarak selamat.  FOTO: Ihsan Pertubuhan Banttu
MASIH boleh bergembira dengan acara sukaneka dalam jarak selamat. FOTO: Ihsan Pertubuhan Banttu
Nurul Husna Mahmud

MASYARAKAT pedalaman terutama Orang Asli antara golongan yang terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) dan kini Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disebabkan tinggal jauh dari bandar selain pergerakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhad.

Menyedari nasib golongan itu NGO Be Always Near To The Unfortunates atau Pertubuhan BANTTU menyantuni masyarakat Orang Asli Kampung Tohor Jelebu, Negeri Sembilan bersama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (F) Seri Sendayan Negeri Sembilan.

Menurut setiausaha pertubuhan berkenaan Syamsuri Saari, program kedua bersama masyarakat itu dalam tempoh Covid-19 memilih kampung berkenaan disebabkan kedudukannya lebih jauh berbanding tiga kampung lain dalam daerah berkenaan.

"Ini adalah program Singgah Santun kedua bagi tahun ini berikutan kekangan dalam tempoh PKPP yang mengehadkan pergerakan orang ramai terutama NGO untuk menyantuni masyarakat pedalaman.

"Siri pertama kami lakukan bersama masyarakat Orang Asli di Kampung Rening Cameron Highlands, kali ini kami memilih Kampung Tohor selepas melakukan lawatan ke tiga kampung lain dan berasakan perlu kerana ia jauh ke dalam.

"Perjalanan untuk sampai sahaja perlu menempuh perjalanan 'offroad' 20 minit selepas melalui jalan kampung dan pekan kira-kira 30 minit dari pekan Jelebu," katanya.

Dalam program itu seramai 28 sukarelawan membantu mengagihkan barang keperluan termasuk barangan dapur, pakaian dan pelitup muka.

KEPERLUAN diagihkan kepada 88 keluarga masyarakat Kampung Tohor.  FOTO: Ihsan Pertubuhan Banttu
KEPERLUAN diagihkan kepada 88 keluarga masyarakat Kampung Tohor. FOTO: Ihsan Pertubuhan Banttu

Pada masa sama turut menjalankan aktiviti bersama anak-anak masyarakat itu seperti sukaneka dan program penjagaan kebersihan diri antaranya aktiviti menggosok gigi dan mencuci rambut.

Bagi sukarelawan program Heather Locklear Anak Anna Anddress, pihaknya terharu dengan sumbangan yang diterima daripada penyumbang yang membantu menjayakan program kali ini.

"Penting terlebih dahulu dengan sumbangan diterima termasuk orang ramai, TF Value Mart, 99 SpeedMart dan kedai alat mainan Twinklebibi kerana mereka memeriahkan lagi program kami.

"Saya dan rakan sukarelawan cukup terharu menerima sambutan hangat daripada 88 keluarga termasuk 150 kanak-kanak kampung terbabit.

"Meskipun berdepan cabaran termasuk mematuhi penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam menangani isu Covid-19, mereka masih boleh bergembira," katanya.

Sementara itu Pengetua SMK (F) Seri Sendayan Shafie Haji Mohd Noor menyifatkan kolaborasi bersama Pertubuhan BANTTU memberi pendedahan lebih tepat mengenai kepentingan menyantuni masyarakat Orang Asli.

KEBERSIHAN diri antara aspek diterapkan dalam pengisian program baru-baru ini.  FOTO: Ihsan Pertubuhan Banttu
KEBERSIHAN diri antara aspek diterapkan dalam pengisian program baru-baru ini. FOTO: Ihsan Pertubuhan Banttu

"Pentingnya dalam kalangan pelajar mahupun warga pendidik menyantuni golongan pedalaman terutama masyarakat Orang Asli supaya mereka ini boleh mencapai kecemerlangan baik akademik mahu pun taraf hidup seperti golongan lain.

"Selain itu dari segi kemahiran, warga pendidik atau pelajar sendiri tahu tertib atau adab apabila menyantuni masyarakat yang mempunyai perbezaan dari segi budaya dan adat," katanya.

Sepanjang program berlangsung pihaknya menjalankan program berasaskan SOP panduan ditetapkan Pejabat Kesihatan Daerah Jelebu sambil dipantau dua staf Jabatan Kemajuan Orang Asli daerah Jelebu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2020 @ 6:40 AM