PENINGGALAN kuartes kediaman kakitangan Stesen Keretapi Ayer Hitam dalam kebun kelapa sawit.
PENINGGALAN kuartes kediaman kakitangan Stesen Keretapi Ayer Hitam dalam kebun kelapa sawit.
Abnor Hamizam Abd Manap

KAMPUNG Dusat, Jempol, Negeri Sembilan menyimpan pelbagai sejarah yang tidak ramai mengetahuinya bagaimana ia dikatakan wujud sejak zaman penjajahan Inggeris.

Mengikut cerita orang lama, kawasan berkenaan asalnya hutan tebal sebelum sekumpulan Orang Asli suku Semelai meneroka hutan bagi membuka penempatan pada awal 1930-an.

Pihak Inggeris kemudian datang pada 1935 dan membuka ladang getah berkeluasan 2,000 hektar yang diberi nama Ladang Glendale.

Selain rumah pekerja, pengurusan ladang turut membina sekolah Cina dan Tamil bagi kemudahan anak pekerja ladang.

Berikutan pembukaan ladang itu, pihak Inggeris kemudian turut membina sebuah stesen kereta api dikenali Stesen Keretapi Ayer Hitam berhampiran ladang berkenaan yang menghubungkan Bahau dan Kemayan bagi mengangkut hasil ladang, kayu balak dan makanan.

Sebuah balai polis turut dibina berhampiran stesen kereta api terbabit yang turut menjaga keselamatan pekerja dan harta benda ladang.

Pihak Inggeris turut membina Jalan Gemas-Bahau-Kemayan pada 1934 yang melalui stesen kereta api dan balai polis yang dibina itu.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus dan Jepun menjajah Tanah Melayu pada 1941, kemudahan berkenaan turut digunakan tentera Jepun.

EMPANGAN Glendale yang dibina kerajaan British sekitar 1956.
EMPANGAN Glendale yang dibina kerajaan British sekitar 1956.

Usai perang, Inggeris datang semula dan menguruskan kembali semua aset yang ditinggalkan namun berdepan cabaran getir zaman komunis yang memaksa pasukan polis bantuan (AP) ditubuhkan Inggeris.

Bercerita lanjut, penduduk tempatan, Anuar Rashidin, 68, berkata, orang Melayu mula meneroka dan membuka penempatan pada awal 1950 dan kebanyakan adalah pekerja kereta api.

Katanya, Kaman 11 dan Kaman 12 antara penempatan awal orang Melayu. Kaman bermaksud bangsal, iaitu kediaman dibina pekerja stesen kereta api.

"Orang India pula datang membuka penempatan beberapa tahun selepas itu dan membuka Kampung Melor dan Kampung Keretapi.

"Pada 1970-an, kerajaan memindahkan Orang Asli yang membuka penempatan awal ke kawasan lebih selesa di Sungai Sampo berikutan ada syarikat yang mahu membuka ladang tebu, katanya ketika meninjau lokasi bersejarah berkenaan di sekitar Kampung Dusat.

Katanya, bagaimanapun perkhidmatan Stesen Keretapi Ayer Hitam ditamatkan pada penghujung 1980-an oleh pihak Keretapi Tanah Melayu ( KTM) atas sebab tertentu.

Anuar yang juga bekas wakil rakyat bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui dari 1990 hingga 2004 berkata, satu lagi kesan peninggalan sejarah yang ada ialah Empangan Glendale yang dibina Inggeris pada 1956.

PONDOK kawalan isyarat stesen keretapi Ayer Hitam antara peninggalan yang masih ada.
PONDOK kawalan isyarat stesen keretapi Ayer Hitam antara peninggalan yang masih ada.

Katanya, pihak ladang mengepam air dari Sungai Sebaling masuk ke dalam empangan sebelum dirawat dan air bersih disalurkan kepada rumah pekerja ladang.

"Bagaimanapun, fungsi empangan yang menyalurkan bekalan air ke rumah pekerja berakhir selepas kerajaan pada 1990 mula menyalurkan bekalan air bersih yang ketika itu diuruskan Jabatan Bekalan Air (JBA), katanya.

Anuar berkata, Kampung Dusat hanya wujud pada 2000 selepas dinamakan semula dan menjadi sebuah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) secara rasmi.

Katanya, nama Kampung Dusat diambil sempena nama tok batin yang membuka penempatan Orang Asli satu ketika dahulu dan kini mempunyai bilangan penduduk seramai 2,500 orang.

"Ketika ini terdapat tujuh kampung dan tiga taman perumahan di bawah pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Dusat.

"Ini sebahagian sejarah Kampung Dusat yang tidak diketahui ramai dan sewajarnya kampung ini diangkat sebagai desa bersejarah oleh kerajaan negeri, katanya.

Bagi D Unini, 68, dari Kampung Keretapi berkata, kekurangan penumpang dan kargo antara faktor stesen kereta api berkenaan ditutup pada penghujung 1980-an.

"Pada 1997, KTM pernah mengadakan perkhidmatan Gemas ke Mentakab, Pahang dan kereta api akan berhenti di kedai makan saya untuk mengambil serta menurunkan penumpang.

"Kebetulan ketika itu saya dilantik untuk menjual tiket kereta api namun perkhidmatan itu hanya bertahan selama setahun apabila KTM turut menamatkan perkhidmatan akibat kekurangan penumpang, katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 7:00 AM