AHMAD Amzad menyerahkan Kubikel Saringan Covid-19 kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.
AHMAD Amzad menyerahkan Kubikel Saringan Covid-19 kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.
Fairul Asmaini Mohd Pilus

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) menyerahkan seunit Kubikel Saringan Covid-19 (CSB) iaitu antara inisiatif kerajaan bagi membendung penularan pandemik itu kepada Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya.

CSB berkenaan adalah salah satu daripada lapan unit kubikel saringan yang dibangunkan pada fasa pertama untuk ditempatkan di hospital dan PKD terpilih di seluruh negara.

Ia dibangunkan bertujuan untuk meminimumkan penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE) dan mengurangkan kontak antara petugas kesihatan dengan pesakit bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada barisan hadapan.

Kubikel di PKD Putrajaya itu dibangunkan Syarikat iDeria Sdn Bhd iaitu anak syarikat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Ia hasil usaha sama antara Mosti dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan peruntukan dana daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Inisiatif itu juga dijayakan secara bersama oleh Pusat Nanoteknologi Kebangsaan dan syarikat NanoMalaysia Berhad.

RUANG petugas mengambil sampel tanpa memerlukan kontak rapat.
RUANG petugas mengambil sampel tanpa memerlukan kontak rapat.

Kubikel berkenaan dilengkapi ruang bertekanan positif dengan sistem penapis HEPA, permukaan dinding dengan salutan nano anti-viral dan ruang pemisah antara pesakit dengan petugas kesihatan.

Ia boleh digunakan sama ada di dalam atau luar bangunan.

Selain itu, saiz kubikel yang kecil juga membolehkan ia untuk diletakkan di klinik kesihatan dan pusat kuarantin yang mempunyai kawasan terhad.

Sistem walk-through yang digunakan pula membenarkan diagnosis dan sejarah penyakit direkodkan tanpa memerlukan kontak secara fizikal antara petugas kesihatan dengan pesakit.

Penyerahan kubikel itu disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim pada satu majlis di Putrajaya, baru-baru ini.

Menurut Mosti, adalah menjadi harapan pihaknya supaya kubikel itu dapat dimanfaatkan oleh masyarakat setempat.

Pada masa sama, ia juga diharapkan supaya dapat membantu petugas kesihatan dalam melaksanakan saringan dengan lebih mudah, pantas dan selesa supaya negara dapat memerangi penularan pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Jun 2020 @ 6:30 AM