MENYANTUNI penduduk luar bandar dapat membantu pelajar menabur bakti kepada masyarakat. FOTO: UIAM
MENYANTUNI penduduk luar bandar dapat membantu pelajar menabur bakti kepada masyarakat. FOTO: UIAM
Hafiz Ithnin


MELIHAT kepada kejayaan dua program yang sama pada 2016 dan 2019, seramai 34 pelajar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sanggup kembali ke Semporna dan Tawau, Sabah untuk mengadakan program komuniti bersama masyarakat setempat selama seminggu Januari lalu.

Dikenali sebagai Program Kemanusiaan 3.0, pelajar dari universiti itu menyusun pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi mendekati masyarakat setempat membabitkan penduduk Kampung Tass Andrassy di Tawau dan Kampung Gusong Melanta di Semporna.

Pengarah Projek itu, Muhammad Ammar Haziq Hairul Anuar berkata, aktiviti seperti itu dapat membantu pelajar UIAM yang terdiri daripada pelbagai latar belakang jurusan menyumbang bakti kepada penduduk di luar bandar khasnya.

Beliau berkata, ada tiga teras utama ketika program itu dijalankan iaitu keagamaan, pendidikan dan kebajikan membabitkan masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur.

“Sebagai pelajar yang ingin mengadakan program bersifat komuniti kami perlu membuat persediaan rapi terutama mempunyai ilmu pengetahuan agama dan akademik untuk memberi bimbingan kepada golongan yang memerlukan.

“Jadi, di peringkat awal lagi program ini memerlukan kami untuk mempunyai persiapan yang rapi dengan mengikuti kelas al-Quran dan fardu ain misalnya supaya tidak menyalurkan bimbingan salah kepada kumpulan sasaran,” katanya.

BERGOTONG-ROYONG membantu membersihkan kawasan kampung. FOTO: UIAM
BERGOTONG-ROYONG membantu membersihkan kawasan kampung. FOTO: UIAM

Jelasnya, antara program yang dilakukan bersama penduduk setempat ialah mengadakan program bimbingan solat, membaca al-Quran, sesi akademik bersama kanak-kanak dan aktiviti komuniti seperti sukan.

“Ketika di kampung itu, semua peserta tinggal bersama keluarga angkat dan perkara ini dapat mendekatkan kami dengan penduduk setempat dan memahami kehidupan harian mereka.

“Selain itu, kami juga mendapat maklum balas positif daripada masyarakat setempat yang melihat program pelajar universiti seperti ini dapat membantu kanak-kanak khasnya lebih berminat untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Katanya, perkara paling asas dalam program berkenaan adalah membentuk masyarakat setempat yang berpegang teguh kepada Islam dengan melaksanakan tanggungjawab sebagai penganut ajaran itu.

“Disebabkan itu, kami juga mengadakan kelas bimbingan membaca al-Quran dan solat kepada penduduk kampung kerana kita ingin pastikan asas utama dalam Islam tidak goyah dalam diri individu tidak kira mereka berada di dalam atau luar bandar.

“Selain itu, kami juga memberi bimbingan solat kepada kanak-kanak di dua kampung berkenaan bagi memupuk kesedaran di peringkat kanak-kanak lagi mengenai kepentingan menjaga serta menunaikan solat,” katanya.

AKTIVITI sukaneka turut diadakan bersama penduduk kampung. FOTO: UIAM
AKTIVITI sukaneka turut diadakan bersama penduduk kampung. FOTO: UIAM

Muhammad Ammar Haziq berkata, meskipun kebanyakan program tertumpu kepada aktiviti keagamaan, bagi kegiatan mendekati masyarakat seperti acara sukaneka, semua penduduk kampung amat dialu-alukan untuk menyertainya tanpa mengira latar belakang kepercayaan.

“Seperti yang dijelaskan tadi, antara matlamat program ini adalah untuk mendekati masyarakat setempat. Jadi, dalam acara membabitkan komuniti seperti sukan, kita amat mengalu-alukan mereka untuk menyertainya.

“Ternyata, program seperti bersukan bersama masyarakat kampung mendapat sambutan menggalakkan kerana sambil beriadah kami juga dapat mendekatkan diri dengan komuniti setempat secara tidak langsung,” katanya.

Selain program pendidikan, kumpulan pelajar itu bekerjasama dengan Muslim Care Malaysia bagi memberi pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada penduduk setempat.

PESERTA beramah mesra dengan penduduk setempat. FOTO: UIAM
PESERTA beramah mesra dengan penduduk setempat. FOTO: UIAM

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 6:45 AM