Nurul Husna Mahmud


POPULARITI batik blok atau batik ‘cop’ tidak ubah seperti carta muzik yang ada naik dan turunnya.

Meskipun persaingan hebat diterima daripada produk batik lukis mahupun kini dengan adanya teknologi mampu mencetak motif batik, genre fabrik tradisi terhasil menerusi kaedah tekapan blok besi masih diterima ramai.

Tidak hairanlah khidmat Abdul Rahman Yusof yang mengusahakan batik di bengkelnya di Pusat Kraftangan Selangor, Taman Rekreasi Templer, Rawang dan bergiat dalam industri berkenaan sejak 1961 masih ditagih peminat tempatan.

Meskipun usianya sudah melewati 70-an, rutin hariannya tekun menekap blok besi yang sedia disadur dengan lilin pada fabrik sudah mempunyai pelanggan.

Katanya, yang lebih mesra dengan panggilan Pok Mud dalam kalangan pelanggan, kerja batik blok ini ‘remeh’ membuatkan tidak ramai anak muda minat terhadap kraf berkenaan.

“Batik blok ini kesukarannya ialah kemahiran menguasai cara melilin cop besi agar tidak terlalu panas atau sejuk. Kalau terlalu panas, kain akan rosak sementara sejuk lilin tidak akan melekap dengan baik atas kain sehingga menjejaskan proses mewarna nanti.

“Saya sendiri ketika berguru bersama pembuat batik tersohor, Allahyarham Pak Hashim di Kelantan mengambil tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan untuk menguasai kemahiran berkenaan dengan sempurna sehinggalah kain siap.

MELILIN kain antara proses sukar dalam kerja mengecop batik blok.
MELILIN kain antara proses sukar dalam kerja mengecop batik blok.

“Dalam penghasilan produk batik cop ini, ia turut memerlukan kreativiti bagi menghasilkan pelbagai rekaan menarik untuk pelanggan,” katanya.

Merujuk kepada cabaran sepanjang bergelar penggiat batik cop, katanya ketika awal pembabitan dalam industri dia berdepan cabaran mencari pasaran.

Bagaimanapun, apabila orang sudah melihat hasil kerjanya, ramai menempah termasuk orang kenamaan dan mana-mana agensi.

“Apabila cerita orang kraf terutama yang berniaga sendiri serta kecil-kecilan, bukan mudah hendak dapat kepercayaan pelanggan. Ketika saya berhijrah dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur sekitar 1980-an untuk peluang lebih baik, memang susah.

“Maklumlah ketika itu ramai juga pengusaha batik dari Kelantan berhijrah ke ibu kota untuk perluaskan perniagaan mereka. Saya sentiasa cuba pamerkan kemahiran dengan tampilkan kelainan pada rekaan batik selain mengikut selera dan minat pelanggan, lama-kelamaan mereka ‘setia’ dengan kita.

“Apabila orang dah kenal lain pula cabarannya. Saya pernah ‘berkampung’ dengan anak di bengkel selama seminggu selepas menerima tempahan daripada Kementerian Kewangan, ketika itu sekitar 1990-an.

“Saya kena siapkan sekitar 1,000 pasang ketika itu untuk dipakai kakitangan kementerian berkenaan. Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

“Saya berjaya menyiapkan semua tempahan dengan bantuan isteri, Azizah Yusof, 53, yang cukup mahir dalam tugas mewarna kain,” katanya.

Malah beliau tidak menolak dalam bermain dengan lilin, terdapat risiko kemalangan ketika mengendalikan kerja mengecop batik berkenaan.

“Kerja seperti ini kurang disukai golongan muda, antaranya kerana perlu berpanas dan memenatkan. Kalau cerita lecur kerana terkena lilin, bagi pembuat batik ia sudah menjadi asam garam kehidupan kami.

“Malah pengalaman sendiri yang paling teruk ialah ketika tangan disambar api sehingga kulit terbakar dan melecur. Tetapi ada petua mengenai kaedah mengurangkan kesan lecur iaitu dengan menyapu minyak gris pada tangan dan kulit. Saya amalkan dan kesan kepada kulit ialah tidak melepuh dengan teruk,” katanya.

Mewarisi bakatnya ialah anak bongsu, Muhammad Azizi, 23, pemegang Diploma Sains Komputer dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka, Pahang kini mengurus perniagaan sepenuh masa.

“Saya perlu menguasai skil berkenaan dua tahun lalu apabila bapa terlantar sakit akibat masalah ‘angin pasang’ selama tiga bulan.

“Mahu tidak mahu saya ketika itu terpaksa menolak tawaran menyambung pengajian peringkat ijazah kerana memikirkan tiada siapa dapat meneruskan kerja ayah.

“Seminggu saya berlatih bermula dengan kain lebihan, kemudian barulah memberanikan diri melakukan kerja mengecop bantuan dan panduan ibu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Julai 2019 @ 10:35 AM